Ahad, 19 March 2017 | 12:35am

Santokh pelawa sertai Karnival Bola Sepak Perpaduan

DATUK Santokh Singh (belakang tengah) ceria bersama kanak kanak pada majlis pelancaran Samba Bola-Karnival Bola Sepak Perpaduan 7 Sebelah B12, di Petaling Jaya.
DATUK Santokh Singh (belakang tengah) ceria bersama kanak kanak pada majlis pelancaran Samba Bola-Karnival Bola Sepak Perpaduan 7 Sebelah B12, di Petaling Jaya.

PETALING JAYA: Kelab Sukan SportsUnite dengan kerjasama Kelab Bola Sepak Kota Damansara sekali lagi menganjurkan Samba Bola-Karnival Bola Sepak Perpaduan 7 Sebelah B12, pada 26 Mac depan.

Karnival bagi merebut Piala Datuk Santokh Singh itu akan berlangsung di Padang Seksyen 7 Kota Damansara.

Karnival sehari itu akan menerima 32 pasukan sahaja, dengan konsep 'siapa cepat dia dapat'.

Pengerusi Kelab Sukan SportsUnite, Datuk Dina Rizal, berkata karnival tahunan itu diadakan bagi mengesan bakat berpotensi dalam kalangan kanak-kanak sekitar Lembah Klang untuk diketengahkan.

"Program ini jelas membawa erti yang cukup besar pada kami, apatah lagi ia mengenang jasa Santokh Singh yang banyak menyumbang kepada pembangunan dan kejayaan bola sepak tanah air era 1970-80-an.

"Karnival ini turut memberi peluang kepada kanak-kanak dan ibu bapa berbilang kaum berinteraksi serta memupuk semangat perpaduan sepanjang pertandingan," katanya.

Sementara itu, Santokh menyifatkan karnival itu sebagai peluang terbaik untuk kanak kanak memperaga bakat bola sepak masing-masing, selain menyemarakkan semangat bertanding.

"Pertandingan ini memberi peluang kepada kanak-kanak merasai pengalaman perlawanan sebenar, barulah mereka tahu apa itu sukan bola sepak.

"Terlalu banyak latihan tidak akan memberi motivasi kepada kanak kanak, yang penting mereka diberi peluang mempamerkan bakat," katanya.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Presiden Kelab Bola Sepak Kota Damansara, Norizan Johar di talian 014-2299526.

Berita Harian X