Rabu, 15 March 2017 | 8:03pm

Status pesilat negara bukan jaminan

Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam (dua, kanan) merasmikan Kejohanan Silat Asia Tenggara kali ke-7 di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin hari ini. Turut hadir Setiausaha Agung PESAKA Datuk Megat Zulkarnain Omardin (kanan). - Foto BERNAMA
Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam (dua, kanan) merasmikan Kejohanan Silat Asia Tenggara kali ke-7 di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin hari ini. Turut hadir Setiausaha Agung PESAKA Datuk Megat Zulkarnain Omardin (kanan). - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kedudukan pesilat negara dalam skuad ke Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 masih belum selamat apabila Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) hanya akan memutuskan senarai muktamad yang menggalas cabaran pada temasya dwitahunan itu pada Jun depan.

Dalam tempoh tiga bulan ini, pesilat negara mempunyai baki ujian yang harus dilepasi, antaranya Terbuka Uzbekistan bulan depan dan Terbuka Belgium, Mei ini.

Dan Kejuaraan Silat Asia Tenggara/Pra Sukan SEA yang sedang berlangsung di Kompleks Lincah Omardin (KLMO), Kuala Lumpur ketika ini juga adalah ujian yang harus dilepasi 42 pesilat yang berada dalam skuad ketika ini.

"Dalam mesyuarat EXCO PESAKA baru-baru, kami sudah putuskan bahawa tiada seorang yang mempunyai keistimewaan (berada dalam pasukan) dan sekarang ini juga kami masih dalam sesi penilaian.

"Sekarang inilah mereka perlu buktikan kepada kami... siapa yang paling layak, merekalah yang akan disenaraikan ke Sukan SEA," kata Setiausaha Agung PESAKA, Datuk Megat Zulkarnain Omardin kepada media, hari ini.

Pasukan silat negara menyasarkan lapan pingat emas di Sukan SEA Kuala Lumpur Ogos ini, selepas meraih tiga emas di temasya Singapura, dua tahun lalu.

Ketika itu, Malaysia meraih kedudukan ketiga keseluruhan, di belakang Indonesia dan juara Vietnam.

"Pesilat sudah bersedia, walaupun ada yang cedera, mereka akan menyertai kejohanan di Uzbekistan dan selepas itu ke Belgium selepas ini. Selepas itu, barulah kami akan lihat siapa yang boleh berada dalam senarai akhir ke Sukan SEA.

"Kami meletakkan sasaran lapan emas (di Sukan SEA) dan ini sangat realistik sekiranya mengambil faktor selaku tuan rumah serta sokongan moral.

"Lagipun, ramai pesilat kita bertaraf dunia, jadi saya tak nampak lapan emas itu mustahil," kata Megat Zulkarnain.

Berita Harian X