Khamis, 23 Februari 2017 | 4:50pm

Skuad kriket sasar tuai 2 emas Sukan SEA

FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

PUCHONG: Jurulatih skuad kriket lelaki negara, Bilal Asad Muhammad Tariq Asad menyasarkan pingat emas bagi pasukan Malaysia apabila sukan itu dipertandingkan buat kali pertama di Sukan SEA 2017, Ogos ini.

Bekas pemain Pakistan itu yakin bahawa skuad kendaliannya mampu menyerlah untuk menyapu bersih dua pingat emas bagi kategori lelaki iaitu menerusi acara 50 overs dan T20 pada temasya dwitahunan itu.

"Kami menyasar emas dan kami berazam memperolehnya. Para pemain kami adalah baik, tahap komitmen, prestasi dan kecergasan sangat baik.

"Buat masa ini kami mempunyai 32 pemain, kami akan senarai pendek kepada 25 orang pada Mac ini dan mereka akan digunakan bagi kedua-dua format (50 overs dan T20)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas lawatan Ketua Kontinjen Negara Sukan SEA, Datuk Marina Chin ke latihan skuad kriket negara di Kinrara Oval di sini, hari ini.

Berdasarkan kepada prestasi semasa dan persiapan rapi, Bilal yakin skuadnya mampu mencipta kejayaan namun mengingatkan Malaysia yang menduduki ranking ke-22 dunia bakal menerima cabaran sengit daripada Singapura yang menduduki ranking ke-23.

Sebagai persiapan untuk Sukan SEA dan Liga Kriket Dunia Majlis Kriket Antarabangsa (ICC) Divisyen 3 di Uganda, skuad lelaki akan mengadakan beberapa siri perlawanan di Afrika Selatan dan Papua New Guinea pada Mei ini.

Sementara itu, skuad kriket T20 wanita pula mahu menggunakan Sukan SEA sebagai batu loncatan untuk mencapai kejayaan di peringkat lebih tinggi selepas berpuas hati dengan tempat kesembilan di Sukan Asia Incheon 2014.

"Sasaran kami adalah pingat emas dan selepas meraih emas kita mahu fokus untuk pergi ke tahap yang lebih tinggi kerana kriket wanita semakin berkembang ketika ini," kata kapten pasukan, Winnie Anne Duraisingam.

Skuad kendalian Thushara Kodikara itu akan mengharungi beberapa siri perlawanan di Thailand menentang Thailand, Singapura dan Bhutan untuk mendapatkan pengalaman dan meningkatkan prestasi pasukan.

Dalam pada itu, Chin berkata kriket mempunyai peluang cerah untuk meraih pingat, kerana skuad itu memulakan latihan sejak tahun lepas lagi.

"Bagaimanapun, saya tidak mahu meletakkan sasaran kepada atlet kerana ia akan memberikan tekanan kepada mereka. Saya tak nak memberikan mereka tekanan, saya hanya mahu memberikan motivasi dan dorongan," katanya.

Selain Singapura, pasukan Thailand, Indonesia dan Myanmar turut mengesahkan penyertaan dalam Sukan SEA. - BERNAMA

Berita Harian X