Khamis, 16 Februari 2017 | 10:25pm

Ujian jentera Honda 2017 lancar

Adam Norrodin
Adam Norrodin

KUALA LUMPUR: Hari pertama sesi ujian peribadi pasukan SIC Racing Team di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini berlangsung positif.

Adam Norrodin yang menunggang jentera baharu Honda 2017 melengkapkan 51 pusingan dan pelumba berusia 18 tahun itu jelas gembira dengan prestasi motosikalnya.

"Saya kagum dengan motosikal 2017 baharu ini, ia lebih baik berbanding sesi awal. Saya dapat merasakan perbezaannya dengan pantas.

"Hari ini semuanya berlangsung dengan baik, kami dapat melakukan beberapa catatan masa sepusingan yang baik, namun apa yang penting ialah kami terus konsisten.

"Ketika sesi pagi, cengkamannya agak kurang, tetapi pada sesi 4 petang tadi, ia lebih baik. Diharapkan kami dapat meraih situasi yang lebih baik esok," kata Adam.

Sesi ujian peribadi pasukan yang bertanding dalam kelas Moto3 ini bakal berlangsung sehingga Selasa ini.

Ia juga penampilan pertama buat Ayumu Sasaki bersama pasukan selepas diikat SIC Racing Team, Oktober tahun lalu.

Pelumba berusia 16 tahun dari Jepun itu melengkapkan 38 pusingan dan mengulas mengenai sesi ujian hari ini, dia berkata: "Kami memulakan sesi dengan pelarasan serta suspensi 2016 pada sesi pagi bagi membolehkan saya mencari rentak.

"Pada sesi petang, kami menukar kepada pelarasan 2017. Sejak awal, saya dapat merasakan sesuatu yang bagus bersama jentera selain masa sepusingan juga agak baik.

"Esok, kami mempunyai masa di trek bagi meneruskan tugasan, jadi kita lihat apa yang boleh dilakukan nanti," katanya.

Berita Harian X