Selasa, 14 Februari 2017 | 9:09pm

KPBJDT sambut baik TMJ tanding Presiden FAM

TUNKU Ismail Sultan Ibrahim. - Foto Osman Adnan
TUNKU Ismail Sultan Ibrahim. - Foto Osman Adnan

JOHOR BAHRU: Kelab Penyokong Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (KPBJDT) menyambut baik langkah Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertanding jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bulan depan.

Pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) itu bersaing dengan Tan Sri Annuar Musa bagi merebut jawatan berkenaan pada Kongres FAM ke-53, 25 Mac ini.

Presiden KPBJDT, Azman Jalil berkata Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) sudah membuktikan kredibilitinya sebagai pemimpin selepas berjaya merevolusi dan mentransformasikan bola sepak Johor.

Katanya, sudah tiba masanya giliran bola sepak negara mendapat suntikan baharu dengan idea lebih mantap bagi mengubah landskap bola sepak tanah air yang kian merosot.

"Kami menjunjung kasih dan berbangga selepas Tunku Ismail bersedia bertanding jawatan tertinggi bola sepak negara, walaupun akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu dengan Penasihat Persatuan Bola sepak Kelantan (KAFA).

"Bagi kami yang merasai pembangunan yang dilakukan Tunku Ismail di Johor ini, pasti ingin melihat satu perubahan secara besar-besaran di peringkat kebangsaan walaupun proses itu pasti memakan masa.

"Namun baginda sudah membuktikan kemampuan ketika mengubah bola sepak Johor.

"Kami juga berharap satu jawatankuasa khas untuk penyokong akan diwujudkan sekiranya Tunku Ismail memegang jawatan Presiden FAM. Ini kerana ia dapat menghubungkan antara penyokong dan badan induk itu apabila segala perkembangan dikongsi bersama, seperti dilakukan baginda sepanjang menjadi pemilik JDT," katanya.

Azman juga berpendapat banyak program kerjasama akan diwujudkan untuk pembangunan bola sepak negara jika Tunku Ismail dipilih kerana baginda sudah membuktikannya ketika bersama JDT.

Katanya, kerjasama itu penting selepas TMJ berjaya membawa jurulatih dari kelab ternama Bundesliga, Borussia Dortmund, selain kini mengadakan kerjasama dengan kelab La Liga, Valencia CF dari Sepanyol.

"Bukan saja di JDT, seluruh penyokong bola sepak tanah air ingin melihat pembaharuan. Saya percaya Tunku Ismail adalah calon paling layak merealisasikan impian ini.

"Selain itu, Tunku Ismail juga serius ingin mewujudkan pengadil profesional bagi memastikan kualiti mutu pengadilan berada di tahap membanggakan," kata Azman.

Berita Harian X