Isnin, 13 Februari 2017 | 9:45am

TMJ, Khairy belum serah borang lagi

KHAIRY dan TMJ belum menghantar borang pengesahan penerimaan pencalonan untuk bertanding jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). - Foto freemalaysiatoday
KHAIRY dan TMJ belum menghantar borang pengesahan penerimaan pencalonan untuk bertanding jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). - Foto freemalaysiatoday

KELANA JAYA: Kecuali Tan Sri Annuar Musa, belum ada mana-mana calon hadir ke Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), di sini untuk menghantar borang pengesahan penerimaan pencalonan untuk bertanding jawatan presiden badan induk itu.

Difahamkan, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar akan hadir ke FAM untuk bertemu dengan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin sebelum membuat keputusan sama ada bertanding atau tidak.

Bagaimanapun, setakat jam 9.30 pagi ini, tinjauan di sekitar pejabat FAM tidak menunjukkan apa-apa perkembangan baharu.

Setakat ini, hanya Annuar yang sudah menghantar borang pengesahan untuk bertanding pada Kongres Pemilihan FAM Ke-53, 25 Mac ini.

Selain Khairy dan Annuar, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Aseh Che Mat turut dicalonkan bagi kerusi panas itu.

FAM menetapkan calon-calon yang mahu bertanding perlu menghantar borang pengesahan penerimaan pencalonan masing-masing sebelum jam 5.30 petang ini.

Berita Harian X