Ahad, 12 Februari 2017 | 10:40am

Jijoe gembira sasaran tercapai

PELUMBA basikal trek negara, Azizulhasni Awang.
PELUMBA basikal trek negara, Azizulhasni Awang.

SEPANG: Pelumba basikal trek negara, Azizulhasni Awang gembira kerana sasarannya untuk menambah koleksi pingat emas di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di New Delhi, India tercapai.

Dia yang memenangi emas kelapan dengan mengungguli acara pecut turut gembira kerana dua lagi pelumba, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Nur Aiman Rosli turut meraih gangsa.

"Alhamdulillah dan terima kasih kerana berkat doa semua, kontinjen Malaysia berjaya membawa pulang satu emas dan dua gangsa termasuk satu daripadanya disumbangkan oleh pelumba remaja (Nur Aiman).

"Bagi saya sendiri, kejayaan ini menepati sasaran awal untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu emas daripada ACC," katanya.

Pemenang gangsa acara keirin Sukan Olimpik Rio 2016 yang lebih mesra dengan panggilan Jijoe itu berkata demikian sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sebentar tadi.

Berita Harian X