Jumaat, 10 Februari 2017 | 8:45pm

KB Puchong mara ke final SSPL

GENTING HIGHLANDS: Kelab Badminton (KB) Puchong United menjadi pasukan pertama mengesahkan tempat ke pusingan akhir saingan badminton SS Purple League (SSPL) di sini, Ahad ini.

Ini selepas mereka berjaya menundukkan juara bertahan, KB Muar dengan keputusan 11-4 pada saingan separuh akhir yang berlangsung di Arena of Stars, Resort World Genting, di sini, hari ini.

Pada aksi final nanti, KB Puchong United akan bertemu pemenang dalam satu lagi aksi separuh akhir sama ada KB Petaling Jaya atau KB Bandar Utama Dragons yang dijadualkan berentap jam 8 malam ini.

Sementara itu, KB Muar pula bakal merebut tempat ke-3/4 yang akan berlangsung pada jam 10 pagi, Ahad ini.

Pada perlawanan hari ini, KB Puchong United terlebih dulu mendahului apabila penghuni ranking kesembilan dunia dari Taiwan, Chou Tien Chen mudah menundukkan pemain ranking ke-33 dunia, Zulfadli Zulkifli, 11-4, 11-7, 11-8.

Perseorangan wanita nombor satu dunia dari Taiwan, Tai Tzu Ying menambah koleksi kemenangan buat KB Puchong apabila menundukkan pemain China, Shen Ya Ying (ranking-175), 11-7, 11-8, 11-9 untuk menjadikan kedudukan.

Gandingan bintang Korea, Lee Yong Dae bersama Muhammad Arif Abd Latif dalam acara beregu lelaki yang mewakili KB Muar bagaimanapun berjaya menundukkan pasangan KB Puchong diwakili Lim Khim Wah / Tan Chee Tean dengan keputusan 11-10, 11-5, 7-11, 9-11, 8-7.

Anak buah Irina Inozemtseva mengesahkan slot ke separuh akhir apabila bintang Denmark, Christinna Pederson yang bergandingan bersama Yoo Yeon Seong (Korea) dalam acara beregu campuran menewaskan Chan Peng Soon / Lee Hyo Jung (Korea), 11-9, 11-9, 7-11, 11-4.

Berita Harian X