Selasa, 7 Februari 2017 | 4:50pm

Sesiapa sahaja berhak bertanding - Yusof

 TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan
TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

MELAKA: Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan sesiapa sahaja berhak untuk bertanding merebut jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Terpulang kepada siapa sahaja untuk bertanding jawatan Presiden FAM, ia terbuka walaupun Tunku Ismail Sultan Ibrahim bakal bertanding jawatan terbabit," katanya.

Mohd Yusoff berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa menghantar borang pengesahan pencalonan jawatan berkenaan, semalam.

Bagi Mohd Yusoff, 14 daripada 20 ahli gabungan menyatakan persetujuan terbuka memberi sokongan kepada Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) bertanding jawatan presiden pada Kongres Pemilihan FAM Ke-53 yang akan berlangsung pada 25 Mac ini.

Selain Tunku Ismail dan Annuar, turut dicalonkan untuk bertanding jawatan nombor satu dalam FAM itu ialah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar serta bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Aseh Che Mat.

Sehingga kini hanya Annuar menghantar borang pengesahan penerimaan pencalonan untuk bertanding, manakala tiga lagi calon belum berbuat demikian.

Sementara itu, bekas Naib Presiden FAM, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata, biarpun terdapat persaingan merebut jawatan presiden, ia harus dilihat dari sudut positif.

"Bagi saya, seeloknya beri laluan kepada TMJ kerana melihat kepada keadaan semasa, rata-rata peminat mahukan beliau sebagai presiden.

"Namun, jika ada individu lain yang mahu bertanding, kita harus menganggapnya sebagai satu persaingan yang sihat," katanya.

Berita Harian X