Selasa, 7 Februari 2017 | 2:15pm

Annuar Musa kunci mulut

TAN Sri Annuar Musa.
- Foto BERNAMA
TAN Sri Annuar Musa.
- Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa enggan mengulas pengumuman Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang bersetuju untuk bertanding jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Namun, sehingga ini, Annuar mengesahkan hanya beliau disahkan oleh sekretariat FAM sudah menghantar borang pengesahan penerimaan pencalonan untuk bertanding jawatan utama persatuan itu.

"Saya tidak nak komen mengenai orang lain, nanti orang marah. Cuma semalam saya jumpa Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

"Saya tanya adakah siapa telah menjawab untuk bertanding, dia kata "nobody". Jadi saya takut tak ada orang bertanding Presiden (FAM). Saya tandatangani borang," katanya pada sidang media selepas majlis pertemuan Penerangan UMNO dengan Persatuan Dong Zong di sini.

Semalam, pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (Johor DT), Tunku Ismail pula berjaya mendapatkan perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bagi merebut posisi panas itu biarpun tarikh akhir pengesahan hanya akan tamat pada Isnin depan.

Selain TMJ dan Annuar, turut dicalonkan merebut jawatan itu Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Aseh Che Mat.

Khairy Jamaluddin dan Aseh sebelum ini menyatakan akan mengundurkan diri jika TMJ bertanding.

Ditanya sama ada beliau mahu terus niat bertanding ketika TMJ bersedia bertanding jawatan itu, Annuar berkata, semua orang mempunyai hak untuk bertanding bagi jawatan itu.

"Saya hanya orang kecil, saya tiada apa-apa jawatan dalam bola sepak. Saya hanya seorang penyokong dan peminat. Saya dicalonkan dan saya terima tapi tarikh pertandingan lambat lagi 25 Mac depan," katanya.

Berita Harian X