Khamis, 2 Februari 2017 | 7:08pm

Muhammad Shah sasar podium di New Delhi

MUHAMMAD Shah Firdaus Sahrom
MUHAMMAD Shah Firdaus Sahrom

KUALA LUMPUR: Pelumba pecut negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang menjadi sandaran skuad negara pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2017 di New Delhi, 6 hingga 10 Februari ini, tekad mahu menempatkan dirinya di atas podium pemenang.

Katanya, sasarannya adalah untuk memperbaiki kedudukan tempat keempat yang diraihnya dalam acara keirin ketika kejohanan sama tahun lalu yang berlangsung di Izu, Jepun.

"Buat masa ini, saya tidak tahu siapa pencabar di New Delhi tetapi saya sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi cabaran kali ini.

"Jadi sasaran saya memperbaiki kedudukan kerana tahun lalu saya hanya dapat tempat keempat sahaja.

"InsyaAllah tahun ini saya akan cuba dapat kedudukan podium. Berdasarkan kondisi sekarang, saya yakin boleh lakukannya. Ini kerana saya belum pernah naik podium sejak bertanding dalam kategori elit.

"Memang pihak pengurusan hendak lihat hasil dan saya juga menjadi pelumba sandaran. Sudah tentu ada tekanan tapi saya lihat secara positif serta jadikannya semangat untuk terus fokus," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berangkat ke New Delhi bersama 25 pelumba lain, semalam.

Selain acara keirin, pelumba 20 tahun itu turut beraksi dalam acara pecut individu dan pecut berpasukan.

Katanya, dalam acara pecut berpasukan, dia akan bergandingan bersama Muhammad Khairil Nizam Rasol dan Muhammad Fadil Mohd Zonis.

Untuk rekod, Malaysia mempertaruhkan 26 pelumba senior dan remaja untuk menyahut cabaran pada ACC kali ini.

Ia juga medan terbaik mengukur prestasi pelumba menjelang Sukan SEA, Kuala Lumpur, Ogos depan.

Berita Harian X