Rabu, 1 Februari 2017 | 9:19pm

Jijoe tekad tambah koleksi emas di New Delhi

AZIZULHASNI (dua kanan) dan Fatehah Mustapa (kanan) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke India bagi menghadapi Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2017, 6 hingga 10 Februari ini. Foto
AZIZULHASNI (dua kanan) dan Fatehah Mustapa (kanan) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke India bagi menghadapi Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2017, 6 hingga 10 Februari ini. Foto

SEPANG: Pelumba nombor satu dunia acara keirin, Mohd Azizulhasni Awang bertekad menambah koleksi pingat emas pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2017 di New Delhi, India, 6 hingga 10 Februari ini.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio 2016 itu berkata, ketika ini dia berada dalam kemuncak prestasi apabila kembali berlatih selepas berehat panjang sejurus berakhir temasya berprestij itu.

"Untuk ACC nanti, saya sasarkan untuk sekurang-kurangnya membawa pulang emas dalam salah satu acara iaitu pecut atau keirin.

"Selepas kembali berlatih, saya teruja melihat peningkatan diri berbanding sebelum ini. Saya dapat rasakan berada di kemuncak prestasi dan tidak sabar untuk memulakan kejohanan utama tahun ini," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Untuk rekod, pelumba berusia 29 tahun itu yang digelar 'Pocketrocketman' itu pernah meraih tujuh emas di ACC iaitu tiga kali bergelar juara keirin dan tiga kali ungguli acara pecut serta sekali dalam acara pecut berpasukan.

Bagi acara keirin, Azizul yang lebih mesra disapa Jijoe meraih emas di Bangkok, Thailand pada 2007, Nara, Jepun (2008) dan Nakhon Ratchasima, Thailand (2015).

Emas acara pecut pula diraihnya di Nara, kemudian di Tenggarong, Indonesia (2009) dan Astana, Kazakhstan (2014) manakala acara pecut berpasukan dimenangi di Tenggarong.

Mengulas lanjut, Azizulhasni tetap berwaspada dengan pencabar Korea, Jepun dan China.

Berita Harian X