Selasa, 31 Januari 2017 | 7:35pm

20 pasukan berentap di LTdL 2017

KETUA Setiausaha, Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Lokman Hakim Ali (kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Le Tour de Langkawi (LTDL) 2017, Emir Abdul Jalal semasa melihat peta laluan LTDL 2017 selepas majlis Pelancaran Imej dan Pengenalan Laluan Le Tour de Langkawi 2017 dan turut bersama Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia, Datuk G. Amarjit Singh Gill (kiri) di Kementerian Belia dan Sukan. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor.
KETUA Setiausaha, Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Lokman Hakim Ali (kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Le Tour de Langkawi (LTDL) 2017, Emir Abdul Jalal semasa melihat peta laluan LTDL 2017 selepas majlis Pelancaran Imej dan Pengenalan Laluan Le Tour de Langkawi 2017 dan turut bersama Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia, Datuk G. Amarjit Singh Gill (kiri) di Kementerian Belia dan Sukan. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor.

KUALA LUMPUR: Sebanyak 20 pasukan dari seluruh benua dijangka menyertai edisi ke-22 kejohanan berbasikal berprestij di rantau Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2017 yang akan berlangsung dari 22 Februari hingga 1 Mac.

Ketua Pegawai Eksekutif LTdL Emir Abdul Jalal berkata beliau berpuas hati kerana lebih banyak pasukan bersaing pada edisi tahun ini, walaupun mereka terpaksa berdepan saingan sengit daripada penganjur lain selepas Jelajah Dunia diperluaskan kepada 37 kejohanan keseluruhan.

Beliau berkata pasukan dari Asia merupakan pasukan terbanyak bersaing pada perlumbaan tahun ini, dengan 12 pasukan berbanding 11 penyertaan pada edisi 2016.

"Kita jangan lupa, Le Tour de Langkawi adalah perlumbaan berbasikal utama di Asia. Kejohanan ini perlumbaan peringkat H.C tertua UCI (Kesatuan Berbasikal Antarabangsa) di benua ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

"Daripada semua permintaan diterima, kita boleh senaraikan pasukan dari Eropah sahaja, namun kita percaya ia menjadi tanggungjawab kita untuk memberi keutamaan kepada pelumba basikal Asia," katanya.

"Ia peluang yang hebat kepada mereka (pelumba Asia) dapat bersaing dengan pasukan-pasukan yang menyertai Tour de France dan Giro d'Italia," kata Emir.

Juara bertahan, Dimension Data dari Afrika Selatan yang merupakan pasukan Jelajah Dunia, dijangka mengetuai cabaran pasukan profesional, selain empat pasukan Itali - Bardiani CSF, Androni Giocattoli, Nippo-Vini Fantini dan pendatang baharu, Willier Triestina.

Unitedhealthcare Professional Cycling Team dari Amerika Syarikat juga akan kembali bersaing di bumi Malaysia, di samping pendatang baharu, Manzana Postobon Team dari Colombia.

"Ia bekas pasukan Nairo Quintana dan Esteban Chaves serta bekas penaja perintis berbasikal Colombia pada era 80-an. Kami gembira atas penyertaan mereka kerana Le Tour de Langkawi sentiasa mempunyai pengikut yang ramai di Colombia menerusi media sosial dan rangkaian televisyen, kata Emir.

Pengenalan pasukan untuk LTdL 2017 akan diadakan pada 21 Februari, sebelum perlumbaan melibatkan lapan peringkat itu bermula, meliputi keseluruhan 1,225km jarak perlumbaan.

Senarai pasukan:

Dimension Data (RSA), Androni Giocattoli, Willier Triestina, Bardiani CSF, Nippo-Vini Fantini (ITA), Unitedhealthcare Professional Cycling Team (USA), Manzana Postobon Team (COL), IsoWhey Sports Swisswellness (AUS), Vino-Astana Motors (KAZ), Aisan Racing Team (JAP), Terengganu Cycling Team, Team Sapura Cycling dan Pasukan Kebangsaan Malaysia (MAS), KSPO Bianchi Asia Pro Cycling (KOR), Giant Cycling Team dan Keyi Look Cycling Team (CHN), 7-Eleven Roadbike Philippines (PHI), Thailand Continental Cycling Team (THA), Infinite AIS Cycling Team (SIN), KFC Cycling Team (INA). - BERNAMA

Berita Harian X