Isnin, 30 Januari 2017 | 7:38am

Schweinsteiger tak akan tinggalkan United - Mourinho

 BASTIAN Schweinsteiger. - Foto AFP
BASTIAN Schweinsteiger. - Foto AFP

LONDON: Jose Mourinho mengesahkan Bastian Schweinsteiger akan terus kekal bersama Manchester United sehingga akhir musim ini, tatkala tempoh pemindahan pemain dijadual berakhir, esok.

Schweinsteiger menjaringkan gol ketika United menewaskan Wigan Athletic 4-0 selepas membuat kemunculan semula dalam kesebelasan utama sejak lebih setahun sekali gus membantu pasukan melangkah ke pusingan kelima Piala FA.

Mengulas lanjut mengenai pemenang Piala Dunia bersama Jerman itu, Mourinho berkata: "Ya, dia akan kekal di sini.

"Dia akan dimasukkan dalam senarai Liga Europa kerana kami membuka ruang bersama (Memphis) Depay dan (Morgan) Schneiderlin (bertukar pasukan) dan kami tidak mempunyai ramai pemain. Kami juga tidak mempunyai banyak pilihan di bahagian tengah.

"Sembilan puluh minit (melawan Wigan) mungkin sukar untuk dia, dari minit 65 hingga 70, jelas ia sukar untuknya tetapi saya fikir dia gembira, " katanya.

Dengan final Piala Liga dijadual berlangsung pada Februari dan Liga Europa juga dalam bulan sama, Mourinho jelas bimbang dengan jadual padat yang bakal diharungi.

"Kami akan berdepan musim yang sukar berbanding kelab lain. Liverpool akan bermain 16 perlawanan sehingga akhir musim, Chelsea bermain 16 selain beberapa perlawanan dalam Piala FA dan kami berada dalam situasi yang padat.

"Southampton mempunyai 15 hari tanpa aksi bola sepak sebelum final. Kami akan bermain dua perlawanan melawan g St Etienne dan pusingan Piala FA seterusnya, jadi kalendar dalam negara bola sepak terhebat dunia adalah karut, " katanya.

Agensi

Berita Harian X