Khamis, 26 Januari 2017 | 8:00am

Mesir bangkit selepas tujuh tahun

ABDALLAH El Said, pemain Mesir (kanan)menggasak bola daripada pemain Ghana, Agyeman Badu pada Kejohanan Piala Negara-Negara Afrika di stadium Port Gentil, Gabon. - Foto EPA
ABDALLAH El Said, pemain Mesir (kanan)menggasak bola daripada pemain Ghana, Agyeman Badu pada Kejohanan Piala Negara-Negara Afrika di stadium Port Gentil, Gabon. - Foto EPA

PORT GENTIL: Mesir merampas kedudukan teratas Kumpulan D Kejohanan Piala Negara-Negara Afrika selepas jaringan cantik Mohammed Salah melalui sepak percuma memastikan kemenangan 1-0 ke atas Ghana di Port Gentil.

Uganda pula merekodkan gol pertama dan meraih mata pertama dalam tempoh 39 tahun di kejohanan berkenaan apabila seri 1-1 melawan Mali dalam aksi di padang basah akibat hujan Oyem.

Kemenangan Mesir itu membolehkan pasukan itu menempah slot ke suku akhir bertemu Maghribi di gelanggang yang sama pada Ahad ini, manakala Ghana akan ke Oyem untuk melawan juara Kumpulan C, Congo.

Menampilkan aksi penuh disiplin dan kemas, Mesir dihadiahkan sepakan percuma pada minit ke-10 berlangsung akibat terjahan keras John Boye ke atas Abdallah El Said dan Salah menggunakan sepenuhnya peluang itu untuk menghukum lawan.

Mesir yang juga juara tujuh kali, membuktikan kemunculan semula pasukan itu dalam kejohanan kali ini mampu memberi impak besar selepas menarik diri selama tujuh tahun.

"Kami tidak masuk ke padang untuk seri, sasaran kami ialah mahu menang semua perlawanan," kata jurulatih Mesir, Hector Cuper.

"Saya lebih sukakan aksi pasukan di babak kedua, tetapi sebenarnya kami berdepan lawan yang cukup kuat," katanya.

Ghana pula kehilangan penyerang veteran, Asamoah Gyan selepas mengalami kecederaan pangkal paha ketika perlawanan berbaki lima minit di babak pertama dan jurulatih, Avram Grant tidak pasti sama ada pemain itu cukup cergas atau tidak menjelang aksi suku akhir.

"Ia kelihatan tidak begitu baik tetapi Gyan sangat kuat," kata Grant.

"Kami akan menunggu dan lihat perkembangan semasa. Kami akan melakukan imbasan dan akan menilai keputusan yang terbaik," - Reuters

Berita Harian X