Jumaat, 20 Januari 2017 | 12:57pm

Kecewa dengan LTAM, Yus Syazlin sedia angkat kaki

YUS Syazlin Nabila Yusri,. - Foto Osman Adnan
YUS Syazlin Nabila Yusri,. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Pemain tenis wanita kebangsaan, Yus Syazlin Nabila Yusri mungkin meninggalkan Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) gara-gara terkilan selepas mendakwa wujud sikap pilih kasih dan sambil lewa dalam badan induk berkenaan.

Jika berlaku bermakna Malaysia bakal kehilangan potensi memenangi pingat pada Sukan SEA 2017 memandangkan atlet kelahiran Perlis itu pernah meraih gangsa di temasya sama di Singapura 2015 untuk acara berpasukan bersama Jawairiah Noordin.

Dia sebelum ini juga pernah menjadi pemain termuda beraksi dalam kejohanan diiktiraf Persatuan Tenis Wanita (WTA) di ibu negara ketika berusia 15 tahun.

Pemain berusia 19 tahun digelar Alyn yang pernah berada di ranking pertama negara, mendakwa kepimpinan baharu LTAM tidak adil apabila menamatkan kontraknya di dalam Program Kita Juara 2017 selaku pemain elit ketika dirinya bergelut dengan kecederaan.

Selain itu dakwanya, pucuk pimpinan diterajui Mirzan Mahathir juga gagal menunaikan janji apabila tidak menghantarnya menyambung pengajian di Amerika Syarikat (AS) yang ditaja LTAM, sehingga memaksanya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pada 2015.

"Saya rasa LTAM berlaku tidak adil kepada saya. Mereka menamatkan kontrak saya pada September 2016 hanya dengan bercakap mulut, tiada surat rasmi, dan lebih mengecewakan apabila saya masih berada dalam proses pemulihan selepas dibedah bahu kanan pada Februari tahun lalu kerana kecederaan.

"Saya rasa ia tidak adil kerana saya terus diturunkan sebagai pelapis kebangsaan dan perlu melalui pemilihan kalau hendak beraksi untuk Sukan SEA, Kuala Lumpur. Ketika dalam pemulihan pun saya berlatih seperti biasa, bukannya ponteng.

"Bila perkara ini jadi membuatkan perasaan berbelah bahagi, tapi saya sebenarnya masih mahu bermain untuk negara cuma berharap semua pihak berlaku adil," katanya yang memberitahu menggunakan wang sendiri ketika menjalani pembedahan di KPJ, Damansara, tahun lalu.

Untuk rekod, pada Februari tahun lalu, Yus Syazlin menjalani pembedahan bahu kanan di KPJ Damansara dan terpaksa melupakan beberapa aksi penting antaranya adalah Kejohanan Tenis Wanita Terbuka Malaysia BMW 2016 di Kelab Golf &Country Kuala Lumpur (KLGCC), Piala Fed di Thailand (April) serta Sukan Malaysia (SUKMA), Sarawak.

Ini kerana dia mengalami kecederaan bahu kanan ketika aksi separuh akhir perseorangan di Kejohanan Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF), Singapura November 2014.

Berita Harian X