Khamis, 19 Januari 2017 | 5:18pm

Cabaran Malaysia dalam perseorangan lelaki berakhir

CHONG Wei Feng tewas kepada pemain Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting 15-21, 21-23 dalam aksi pusingan ketiga, hari ini. - Foto fail NSTP/Zunnur Al Shafiq
CHONG Wei Feng tewas kepada pemain Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting 15-21, 21-23 dalam aksi pusingan ketiga, hari ini. - Foto fail NSTP/Zunnur Al Shafiq

SIBU: Cabaran Malaysia dalam acara perseorangan lelaki saingan Malaysia Masters berakhir selepas dua wakil yang beraksi di pusingan ketiga, Chong Wei Feng dan Tan Jia Wei terkandas susulan kekalahan di tangan lawan masing-masing.

Situasi itu menyaksikan gelaran juara kejohanan bertaraf Grand Prix Emas itu akan terlepas daripada tangan Malaysia selepas Datuk Lee Chong Wei memenanginya buat kali kelima pada edisi tahun lalu di Pulau Pinang.

Wei Feng yang bergerak secara profesional dan menjadi sandaran utama bagi mempertahankan gelaran juara acara itu gagal apabila tewas kepada pemain Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting 15-21, 21-23 dalam aksi pusingan ketiga, hari ini.

"Saya sudah melakukan yang terbaik namun perlawanan hari ini tidak memihak kepada saya. Apa pun saya tetap percaya Malaysia masih mempunyai pemain muda berpotensi untuk menggalas tanggungjawab pada masa depan," kata Wei Feng.

Terdahulu, Jia Wei yang bermula daripada pusingan kelayakan ditunjukkan jalan keluar apabila tunduk di tangan pemain Indonesia, Muhammad Bayu Pangistu 18-21, 10-21.

Chong Wei tidak mempertahankan gelaran juara miliknya pada edisi tahun ini kerana mahu mengehadkan penyertaan dalam kejohanan dengan fokus utama adalah Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland, Ogos depan.

Naib juara tahun lalu, Iskandar Zulkarnain Zainuddin pula terpaksa menarik diri di saat akhir susulan kecederaan pinggang.

Berita Harian X