Ahad, 15 Januari 2017 | 9:27pm

Meng Yean tiada masalah berganding Chiew Sin

PEMAIN beregu wanita, Lee Meng Yean (kiri) dan Chow Mei Kuan. - Foto fail NSTP/Owee Ah Chun
PEMAIN beregu wanita, Lee Meng Yean (kiri) dan Chow Mei Kuan. - Foto fail NSTP/Owee Ah Chun

SIBU: Pemain beregu wanita, Lee Meng Yean, berkata bukan satu masalah besar buat dirinya untuk bergandingan dengan Lim Chiew Sin, biarpun sebelum ini dia sudah selesa bersama Chow Mei Kuan.

Dia yang akan bergandingan bersama Chiew Sin buat kali pertama pada saingan Malaysia Masters di sini, bermula Selasa ini, berkata mereka tidak memerlukan tempoh yang lama untuk membentuk persefahaman.

"Tidak terlalu teruk, kami masih lagi dalam percubaan untuk cuba mendapatkan rentak dan saya rasa ia bukan satu masalah berganding dengannya (Chiew Sien)," kata Meng Yean.

Bagaimanapun, Meng Yean mengakui undian Masters Malaysia tidak begitu memihak kepada mereka apabila dijadualkan bertemu gandingan Taiwan, Hsu Ya Ching-Wu Ti Jung di pusingan pertama.

"Undian kami tidak berapa baik, di pusingan pertama lagi kami terpaksa berdepan pasangan Taiwan. Saya rasa pasangan ini mampu memberi sedikit kesukaran buat kami kerana permainan mereka juga sangat bagus.

"Kami juga melihat peringkat seterusnya juga sengit, walaupun jika dapat menumpaskan Ya Ching-Ti Jung. Ini kerana saya bergandingan bersama Chiew Sien, kalau dengan Mei Kuan mungkin sedikit berbeza," katanya.

Meng Yean-Mei Kuan berjaya menunjukkan peningkatan musim lalu apabila berjaya merangkul kejuaraan, Siri Antarabangsa di Kota Kinabalu.

Berita Harian X