Ahad, 8 Januari 2017 | 8:00am

Djokovic kekal kejuaraan Terbuka Qatar

NOVAK Djokovic mengucup trofinya selepas mengekalkan kejuaraan Terbuka Qatar menewaskan Andy Murray di Doha, sebentar tadi. - Foto AFP
NOVAK Djokovic mengucup trofinya selepas mengekalkan kejuaraan Terbuka Qatar menewaskan Andy Murray di Doha, sebentar tadi. - Foto AFP

DOHA: Novak Djokovic mengakhiri deretan 28 kemenangan berturut-turut pemain nombor satu dunia, Andy Murray apabila mengekalkan kejuaraan Terbuka Qatar dalam pertembungan tiga set mendebarkan yang berakhir di sini, sebentar tadi.

Pemain kelahiran Serbia itu menang 6-3, 5-7, 6-4 dalam perlawanan berkualiti, dipenuhi aksi membabitkan dua pemain terbaik dunia yang berlarutan hampir tiga jam.

Ia adalah kemenangan ke-25 Djokovic ke atas Murray sepanjang kariernya dan memberi petanda penting kepada pencabar utamanya dari Britain itu menjelang bermula Grand Slam Terbuka Australia yang membuka tirainya pertengahan bulan ini.

Djokovic menggambarkan Murray sebagai 'pesaing terhebat' dan berkata kedua-dua pemain 'mengheret satu sama lain' ke tahap maksimum mereka.

"Setiap perlawanan kami adalah cabaran yang besar, kamu perlu mengakuinya dan menjangkakan pertarungan yang hebat," kata Djokovic. "Kamu melihatnya malam ini, bagaimana kuatnya keinginan kami untuk menang."

Pemain nombor dua dunia itu berkata, dia pada mulanya merancang untuk menamatkan perlawanan lebih awal.

"Saya memiliki tiga atau empat mata akhir pada set kedua namun dia berjaya mengubahnya dan saya berfikir: Wow! Saya harap ia bukan masa untuk pembalasan!

"Dia hampir... sepanjang perlawanan sehingga pukulan terakhir kamu tidak akan mengetahuinya dengan Andy," kata Djokovic yang turut dikenakan penalti mata pada set kedua selepas menghempas raketnya ketika tekanan kian memuncak.

Namun sekali pun tampak dibebani kekecewaan dan kebimbangan pada set ketiga, Djokovic mampu menghalang segala momentum Murray, sekali gus mengesahkan gelaran kedua berturut-turut di Qatar dan membawa pulang AS$209,665 dolar (RM937,831).

Murray berkata dia 'jelas kecewa' apabila tewas tetapi ia tidak merosakkan semangatnya.

"Saya fikir secara fizikal ia adalah ujian yang baik untuk memulakan tahun ini," kata pemain kelahiran Scotland itu yang mengakui kegagalan berpunca daripada kesilapannya menyempurnakan peluang.

"Saya merampas mata pada kedudukan 3-2. Pada set terakhir, saya mendahului 0-30 ketika Novak memegang servis tetapi bermain dengan beberapa pukulan yang longgar. Saya juga memperoleh mata break di set pertama, namun saya tidak merebutnya.

"Dia memperoleh peluang dan mengambilnya. Itulah perbezaannya petang ini," katanya sambil menolak kekalahan itu akan memberi kesan di Terbuka Australia.

Walaupun tewas, Murray masih mengekalkan ranking nombor satu dunia. - AFP

Berita Harian X