Sabtu, 7 Januari 2017 | 11:10am

`Apache Assassin' pemain import keempat JDT

Mario Gomez
Mario Gomez

JOHOR BAHRU: Siapakah pemain yang bakal melengkapkan kuota import buat pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) bagi saingan musim ini? Itulah teka-teki yang masih belum terjawab sehingga kini.

Namun hari ini, ketua jurulatih juara Liga Super itu, Mario Gomez memberi sedikit gambaran mengenai import keempat berkenaan untuk menggantikan Juan Martin Lucero.

Menerusi akaun Facebook rasmi JDT, Johor Southern Tigers, sebentar tadi, pemain itu, kata Gomez, berasal dari Argentina yang diberi gelaran `Apache Assassin' dan dijangka diperkenalkan esok atau lusa.

"Pemain terakhir yang akan menyertai JDT bagi menggantikan tempat Juan Martin Lucero dan dia beraksi di posisi serangan, dia dikenali sebagai `Apache Assassin'," kata Gomez dalam kenyataan itu.

BH Online difahamkan penyerang import baharu JDT itu akan menyertai skuad Harimau Selatan di Thailand untuk latihan pra musim menentang kelab Chonburi FC, Air Force Central FC dan Buriram United.

Dalam kenyataan sama, Gomez yang berasal dari Argentina turut mengesahkan pemain import, Brian Ferreira melengkapkan kuota import Asia bagi menggantikan Hariss Harun yang bakal dipinjamkan kepada kelab Portugal atau Jepun.

Katanya, Ferreira memegang pasport kerakyatan Iraq, sekali gus tidak timbul masalah untuk mendaftarkan pemain itu sebagai pemain import Asia seperti yang ditetapkan oleh Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM).

Sebelum ini, pemain import ketiga JDT, Gonzalo Cabrerra sudah tiba di sini, dan menjalani latihan bersama JDT sejak kelmarin.

Pemain itu pernah beraksi untuk kelab Boca Junior dengan kelab terakhirnya adalah Al-Faisaly FC, Arab Saudi.

Berita Harian X