Sabtu, 31 Disember 2016 | 10:41am

KB Petaling mula pamer taring sebenar

AKSI Lim Yin Fun ketika menyumbang mata kedua buat KB Petaling
AKSI Lim Yin Fun ketika menyumbang mata kedua buat KB Petaling

KUALA LUMPUR: Kelab Badminton (KB) Petaling mula menunjukkan taring sebenar mereka dalam saingan SS Purple League (SSPL) musim ini apabila membenam cabaran pendahulu liga, KB Petaling Jaya, semalam.

Kejayaan itu hadir selepas pasukan di bawah kendalian Yap Kim Hock menewaskan KB Petaling Jaya dengan keputusan 11-7.

Berbaki tiga lagi perlawanan liga, KB Petaling kini berpeluang cerah untuk ke saingan peringkat kalah mati SSPL andai mengekalkan konsistensi dalam permainan mereka.

Dalam perseorangan lelaki pertama, pemain KB Petaling dari Jepun, Kenichi Tago berjaya menang mudah 11-8, 11-4, 11-5 (3-0) ke atas R Satheistharan.

Lim Yin Fun menyumbang mata kedua apabila menundukkan Sarita Suwannakitborihan 11-4, 11-10, 11-6 (3-0) untuk KB Petaling selesa mendahului.

KB Petaling turut memenangi acara beregu lelaki manakala perseorangan lelaki kedua menyaksikan keputusan seri antara kedua-dua pasukan.

"Kami belajar daripada kekalahan kepada KB Kepong beberapa hari lalu dan hari ini (semalam) mengatasi pendahulu liga adalah satu kemenangan yang begitu bermakna kepada pasukan KB Petaling," kata Kim Hock.

Dalam satu lagi perlawanan menyaksikan KB Bangsar Hawk meraih kemenangan sulung apabila mengatasi KB Ampang Jaya 11-10 dalam aksi penuh sengit.

Berita Harian X