Selasa, 27 Disember 2016 | 5:21pm

Penaja, KAFA diminta berunding segera

KOTA BHARU: Bekas pemain dan kelab penyokong menggesa bakal penaja tampil segera mengadakan rundingan dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bagi menyelesaikan isu tajaan sebelum Kongres Luar Biasa pada 29 Disember ini.

Bekas pemain, Yassin Mohd Noor, yang pernah beraksi bersama Kelantan dan pasukan kebangsaan, berkata mana-mana syarikat korporat atau individu yang berhasrat menaja Kelantan perlu segera berunding dengan KAFA untuk dimuktamadkan dalam kongres itu nanti.

"Saya tidak mahu individu berkenaan bersikap 'menangguk di air yang keruh' dalam situasi persatuan itu berhadapan dengan kemelut kewangan ketika ini.

"Bakal penaja juga harus ikhlas membantu KAFA tanpa mempunyai sebarang niat tertentu yang boleh memburukkan keadaan terutama menutup peluang penaja lain yang berminat menaja Kelantan," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Sementara itu, Presiden Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim (Kelate.net), Mahizi Mahmood, berkata seluruh ahli kelab penyokong amat teruja apabila beberapa syarikat korporat terkemuka menyuarakan hasrat membantu KAFA supaya dapat berasing dalam Liga M musim depan.

"Saya harap semua bakal penaja terus berjumpa segera dengan KAFA untuk mengadakan perbincangan berhubung dengan jumlah tajaan," katanya.

Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) kesal dengan kenyataan beberapa syarikat di media yang mendakwa bakal tampil sebagai penaja atau penaja utama TRW musim depan.

Setiausaha KAFA, Datuk Ismail Md Noor, berkata dalam suasana persatuan menghadapi kemelut kewangan, banyak pihak yang cuba mempromosikan diri masing-masing untuk mendapat publisiti murahan seolah-olah mereka 'balang oksigen' penyelamat KAFA tanpa melihat kesan terhadap pihak yang lain.

Berita Harian X