Khamis, 22 Disember 2016 | 1:50pm

Bapa, anak menang dua Anugerah Gayong 2016

IMAN Solihin (kanan) menerima anugerah Tokoh Cilik Gayong 2016 sambil diperhatikan Mohamad Nasuha (kiri) yang diumumkan sebagai Tokoh Gayong 2016.
IMAN Solihin (kanan) menerima anugerah Tokoh Cilik Gayong 2016 sambil diperhatikan Mohamad Nasuha (kiri) yang diumumkan sebagai Tokoh Gayong 2016.

KUALA LUMPUR: Gandingan Mohamad Nasuha Ahmad dan anaknya, Iman Solihin Mohamad Nasuha merangkul dua daripada empat kategori pada Majlis Anugerah Gayong 2016 yang disampaikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Behrang 2020, Perak, baru-baru ini.

Mohamad Nasuha, 37, guru sekolah menengah dinobatkan sebagai pemenang Tokoh Gayong 2016 bersama Khalid Saedon yang juga jurulatih Persatuan Seni Silat Gayong Malaysia (PSSGM) Tanjung Malim.

Nasuha adalah pengurus pasukan silat sekolah ke Kejuaraan Pencak Silat Antarabangsa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Tokoh Kepemimpinan Kokurikulum Peringkat Sekolah.

Malah dia juga bertindak selaku penyelaras Pertandingan Pencak Silat antara Sekolah Daerah Batang Padang selain juri dan wasit silat antara Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) kebangsaan.

Anak sulungnya, Iman Solihin, pula muncul Tokoh Cilik Gayong 2016 hasil pencapaian sebagai pemenang pingat emas solo tari silat putera (sekolah rendah) dan pingat gangsa Pertandingan Pencak Silat Gangga Negara selain lulus ujian kenaikan bengkung PSSGM Peringkat Kebangsaan.

Sementara itu, Penghulu Mukim Hulu Bernam, Hamka Othman berkata, pembabitan generasi muda dalam seni bela diri silat mampu mencegah mereka daripada terjebak dengan gejala sosial selain memastikan seni warisan Melayu terus mekar selari dengan peredaran zaman.

"Peranan PSSGM tepat pada masanya memandangkan meningkatnya kes jenayah dan kegiatan tidak bermoral di kalangan belia yang dianggap menggugat keselamatan masyarakat dan negara.

"Majlis Anugerah Gayong 2016 juga diharap dapat membuka minda golongan muda untuk memartabatkan seni warisan bangsa ini seterusnya memupuk semangat berdaya saing, " katanya ketika merasmikan majlis berkenaan.

Majlis itu bertujuan memberikan penghargaan kepada ahli PSSGM yang giat menyertai pelbagai aktiviti silat sepanjang tahun ini.

INFO:

Senarai penerima anugerah:

Tokoh Anak Gayong 2016:

Ain Nashrah Abdul Wahab (Gelanggang Naga Perkasa)

Muhammad Adha Mohd. Nasir (Gelanggang Politeknik Sultan Azlan Shah)

Muhammad Zulhimi Suryana (Gelanggang Ngauman 3 Alur)

Tokoh Cilik Gayong 2016: Iman Solihin Mohamad Nasuha

Tokoh Gayong 2016: Khalid Saedon dan Mohamad Nasuha Ahmad

Tokoh Pesilat Terbaik: Muhammad Zulhimi Suryana

Berita Harian X