Rabu, 21 Disember 2016 | 1:45pm

Traisy akui laluan ke Sukan SEA 2017 sengit

Traisy Vivien Tukiet. - Foto zimbio
Traisy Vivien Tukiet. - Foto zimbio

KUALA LUMPUR: Traisy Vivien Tukiet pernah menyertai kontinjen negara di Sukan Olimpik London 2012 namun selepas empat tahun namanya seakan sedikit tenggelam.

Pencapaian terbarunya adalah meraih pingat gangsa dalam acara 10 meter platform wanita di Kejohanan Terbuka Hong Kong bulan lalu dan kini atlet dari Sarawak itu mengharapkan dirinya terpilih dalam sesi pemilihan untuk sukan terjun di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Namun, atlet berusia 22 tahun itu berkata, dia mungkin berdepan saingan sengit apatah lagi slot bagi acara itu turut diintai Olimpian, Nur Dhabitah Sabri dan Leong Mun Yee.

"Sasaran di Sukan SEA masih belum pasti kerana saya baharu saja menyertai latihan," kata Traisy kepada media selepas Perhimpunan Atlet Kita Juara Fasa 2, di sini semalam.

"Buat masa saya ini, saya berharap dapat melakukan yang terbaik pada sesi pemilihan Sukan SEA dan seterusnya menyertai temasya itu.

"Namun, ketika ini, untuk acara platform wanita terlalu banyak saingan seperti Dhabitah dan Mun Yee, jadi mungkin ia agak susah untuk saya."

Dalam pada itu, Traisy mengakui kecederaan di buku lali dan pergelangan tangan sebelum Olimpik London menjadi antara punca penurunan prestasinya.

"Kecederaan itu memang ada di bahagian buku lali dan pergelangan tangan dan satu lagi di bahagian dada. Jurulatih meminta saya untuk berehat dan mungkin itu (kecederaan) menjadi punca saya tidak banyak menghasilkan keputusan yang bagus," katanya.

Sementara itu, pengurus pasukan terjun, Siow Kian Wah memberi jaminan yang mereka akan membantu Traisy untuk kembali di tahap yang diinginkan.

"Kami akan cuba bantu Traisy Saya yakin dengan dia dan dengan bantuan semua pihak, saya percaya dia akan bangkit semula.

"Bagi peluang kepada dia, memang ada ramai atlet platfrom namun senarai (ke Sukan SEA) masih belum diputuskan lagi. Jadi, dia masih mempunyai peluang lagi," kata Kian Wah.

Berita Harian X