Khamis, 15 Disember 2016 | 8:02am

Zabaleta, Silva hidupkan rentak kemenangan Man City

PEMAIN Manchester City, Pablo Zabaleta (kiri) mengasak pemain Watford, Isaac Success pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stadium Etihad, Manchester, awal pagi tadi. - Foto AP
PEMAIN Manchester City, Pablo Zabaleta (kiri) mengasak pemain Watford, Isaac Success pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stadium Etihad, Manchester, awal pagi tadi. - Foto AP

MANCHESTER: Gol pertama Pablo Zabaleta dalam tempoh dua tahun membantu Manchester City menewaskan Watford 2-0, awal pagi ini dengan skuad bimbingan Pep Guardiola kembali memperoleh rentak kemenangan.

Kejayaan itu menandakan kemenangan pertama City dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) di tempat sendiri sejak menewaskan Bournemouth pada 17 September lalu.

Tetapi kejayaan itu hanya disahkan pada minit ke-86 apabila David Silva menyumbat gol kedua.

Selepas Yaya Toure berjaya menembusi pertahanan Sebastian Prodl, Silva dan Raheem Sterling turut menaikkan rentak permainan dengan bertukar-tukar hantaran dan pemain Sepanyol itu kemudian menjaringkan gol dari jarak 14 meter.

Pertahanan Argentina, Zabaleta yang dikatakan bakal meninggalkan kelab itu apabila berakhirnya kontrak pada musim ini, terlebih dulu menjaringkan gol pembukaan dalam perlawanan di Stadium Etihad.

Sepanjang33 minit pertama, City mendominasi permainan tanpa memaksa penjaga gol lawan, Heurelho Gomes bekerja keras apabila Watford menunjukkan disiplin dan tumpuan di bahagian belakang.

Tetapi hantaran Nolito berjaya sampai kepada De Bruyne dan dengan Adlene Guedioura terlepas pandang kepada Zabaleta, pertahanan City itu kemudian menghasilkan jaringan hebat daripada hantaran lintang rakan sepasukannya. - AFP

Berita Harian X