Khamis, 15 Disember 2016 | 7:15am
PENGURUS Manchester United, Jose Mourinho dan penyerang pasukan, Zlatan Ibrahimovic bersama rakan sepasukan meraikan kemenangan selepas menewaskan Crystal Palace, awal pagi tadi. - Foto Reuters
PENGURUS Manchester United, Jose Mourinho dan penyerang pasukan, Zlatan Ibrahimovic bersama rakan sepasukan meraikan kemenangan selepas menewaskan Crystal Palace, awal pagi tadi. - Foto Reuters

Jaringan lewat Ibrahimovic legakan Man United

LONDON: Jaringan lewat Zlatan Ibrahimovic membolehkan Manchester United menang 2-1 ke atas Crystal Palace dalam saingan Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi dengan skuad Jose Mourinho masih berhempas-pulas mendapatkan tiga mata penuh.

United yang menguasai perlawanan menyaksikan mereka mendahului menerusi jaringan Paul Pogba pada minit ke-47 namun Palace bangkit pada separuh masa kedua dengan jaringan penyamaan James McArthur pada minit ke-66.

Beraksi di Selhurst Park, United menggandakan asakan dan pada satu ketika Juan Mata hampir mendapatkan jaringan kedua namun golnya dibatalkan kerana ofsaid.

Ketika empat minit masa permainan sebenar tamat, kombinasi Pogba dan Ibrahimovic menyaksikan United di depan apabila bola hantaran jauh Pogba membolehkan Ibrahimovic menyambarnya sebelum meledak masuk di sudut kiri pintu gol Palace.

Kemenangan itu menyaksikan United kekal di tangga keenam namun ia tiga mata melegakan bagi Mourinho yang ketinggalan enam mata untuk empat teratas liga.

Namun Mourinho sekali lagi menghadapi senarai pemain yang ditimpa kecederaan apabila Eric Bailly dikasari pada minit ke-5 di lutut kanannya.

Ketika bertemu Tottenham hujung minggu lalu, Antony Martial dan Henrikh Mkhitaryan turut menerima nasib sama. - AFP

Berita Harian X