Selasa, 13 Disember 2016 | 10:12pm

Empat pemain skuad wanita digugurkan

 PENGENDALI pasukan bola sepak wanita negara, Mohd Asyraaf Fong Abdullah. - Foto Malai Rosmah Tuah
PENGENDALI pasukan bola sepak wanita negara, Mohd Asyraaf Fong Abdullah. - Foto Malai Rosmah Tuah

KOTA KINABALU: Empat daripada 25 pemain skuad bola sepak wanita negara yang menjalani latihan fasa pertama persiapan Sukan Sea Kuala Lumpur 2017, di sini, digugurkan daripada pasukan.

Pengendalinya, Mohd Asyraaf Fong Abdullah, berkata empat pemain terbabit ialah Rosdianah Adeline Jerus, Siti Rohani Sapthu, Dhiya Fatihah Ahmad Razali dan Sanizah Dualin dengan kesemuanya adalah muka baru dalam pasukan negara.

"Kita terpaksa menggugurkan empat pemain kerana beberapa faktor termasuklah kecederaan, kemahiran individu yang belum mencapai tahap diharapkan serta faktor saiz fizikal," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Mohd Asyraaf, berkata kesemua 21 pemain yang masih kekal akan diterbangkan ke Nepal bagi menghadapi perlawanan persahabatan menentang skuad negara berkenaan pada 17 Disember ini di Kathmandu.

"Bagi saya, perlawanan ini sangat berguna untuk menilai sejauh mana perkembangan pasukan selain ingin melihat keberkesanan taktikal yang saya cuba terapkan.

"Ianya (perlawanan persahabatan bertemu Nepal) juga penting untuk menilai kemampuan lima pemain yang baru diserapkan dalam skuad kebangsaan," katanya.

Katanya, 21 pemain berkenaan juga akan terus dipanggil untuk menjalani latihan fasa seterusnya pada Januari depan.

"Saya juga akan cuba mencari beberapa lagi pemain berbakat menerusi kejohanan Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) yang akan berlangsung pada Januari serta Piala Tun Sharifah Rodziah pada Mac tahun depan," katanya.

Senarai pemain ke Nepal:

Yasrikalaura Tumas; Usliza Usman; Haindee Mosroh; Asma Junaidi; Shereilynn Elly Pius; Jaciah Jumilis; Dadree Rofinus; Masturah Majid; Eslisah Esar; Malini Nordin; Angela Kais; Nur Haniza Saarani; Roszaini Bakar; Nurul Azurin Mazlan; Nur Athirah Farhanah Zairi; Marcella Angela Parais; Fedalliah Claritta Jaimin; Puteri Nor Alisa Wilkinson; Nor Atikah Abdul Wahab; Anis Aisyah Asiati dan Nor Athirah Mamat.

Berita Harian X