Selasa, 13 Disember 2016 | 1:52pm

Man City belum terdesak - Begiristain

PENGARAH bola sepak Manchester City, Txiki Begiristain.
PENGARAH bola sepak Manchester City, Txiki Begiristain.

MANCHESTER: Pengarah bola sepak Manchester City, Txiki Begiristain menolak kemungkinan kelab itu bakal menandatangani pertahanan baharu pada jendela perpindahan bulan hadapan.

City dikaitkan dengan beberapa pemain baharu yang berpotensi selepas diaibkan 4-2 oleh Leicester City, Sabtu lalu.

Anak buah Pep Guardiola itu tidak dibolosi hanya dalam tiga perlawanan daripada 21 perlawanan musim ini dan kontrak tiga pertahanan senior - Pablo Zabaleta, Gael Clichy dan Bacary Sagna - semuanya akan tamat musim panas nanti.

City bakal mengalu-alukan kehadiran penyerang Brazil berusia 19 tahun, Gabriel Jesus pada bulan hadapan namun hanya dia saja pemain baharu yang akan menyertai mereka, kata Begiristain.

"Kami beraksi dengan baik kecuali pada dua perlawanan terakhir," katanya merujuk kepada aksi bertemu Leicester dan Chelsea.

"Kami sudah melakukan yang terbaik, kami memperagakan permainan yang baik, kami bertahan dengan baik dan menjaringkan gol, jadi kami akan cuba kembali kepada prestasi sebenar kami.'

The Citizens memantau beberapa pemain pertahanan sejak musim panas lalu terutamanya selepas menyedari bahagian pertahanan mereka perlu diberi perhatian susulan beberapa pemain dijangka bakal meninggalkan kelab itu penghujung musim nanti. - Agensi

Berita Harian X