Ahad, 11 Disember 2016 | 7:01pm

Remaja 17 tahun muncul juara Golf BDB Masters

MUHAMMAD Firdaus Kassim muncul juara keseluruhan dalam Kejohanan Golf BDB Masters Kedah Malaysia 2016 sekali gus menutup tirai kalendar acara Darulaman Golf & Country Club, Alor Setar, pada tahun ini. - Foto Amran Hamid
MUHAMMAD Firdaus Kassim muncul juara keseluruhan dalam Kejohanan Golf BDB Masters Kedah Malaysia 2016 sekali gus menutup tirai kalendar acara Darulaman Golf & Country Club, Alor Setar, pada tahun ini. - Foto Amran Hamid

ALOR SETAR: Muhammad Firdaus Kassim, 17, muncul juara keseluruhan dalam Kejohanan Golf BDB Masters Kedah Malaysia 2016 sekali gus menutup tirai kalendar acara Darulaman Golf & Country Club, di sini pada tahun ini.

Kejohanan yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lalu, menyaksikan 100 pemain golf dari seluruh negara mengambil bahagian kali ini.

Muhammad Firdaus muncul juara keseluruhan dengan jumlah 219 pukulan menewaskan pencabar terdekat, Nordin Yahya yang dapat tempat kedua dengan 220 pukulan manakala tempat ketiga, Amir Benno dengan jumlah 224 pukulan.

Pemenang utama menerima baucar bernilai RM2,500 beserta trofi diikuti baucar bernilai RM2,000 dan RM1,800 untuk pemenang kedua dan ketiga.

Muhd Firdaus yamg mewakili Kelab Golf Danau, berkata ini adalah kali pertama beliau beraksi di Kedah dan berasa sedikit gementar tetapi selepas pusingan kedua keyakinannya semakin bertambah.

"Biarpun, saya disaingi oleh pemain golf hebat antaranya Nordin Yahaya, Amir Benno dan Abdullah Dania tetapi saya cuba tenangkan perasaan dan terus fokus membuat pukulan.

"Saya anggap kemenangan ini sebagai perangsang untuk meneruskan cita-cita untuk menjadi pemain professional dan saya bertekad mendapatkan kad pro oleh PGM." katanya yang ditemui di sini hari ini.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Tajul Urus Mat Zain mewakili Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah merasmikan kejohanan berkenaan dengan melakukan pukulan tee-off serta mengambil bahagian dalam perlawanan amal yang berlangsung.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB), Datuk Izham Yusoff berkata, ia mendapat sambutan yang cukup membanggakan apabila 100 pemain golf dari seluruh negara tetapi hanya 60 pemain terbaik sahaja layak untuk ke pusingan akhir kejohanan.

"Kejohanan kali ini sedikit kelainan berbanding edisi lalu yang mana seramai 40 pemain jemputan turut bermain dalam perlawanan amal yang berlangsung seiring dengan pusingan akhir BDB Masters 2016.

"Sambutan yang diberikan terhadap pertandingan pada kali ini sangat memberangsangkan sekali gus membuktikan kejohanan ini, dikenali di kalangan pemain golf," katanya.

Berita Harian X