Khamis, 8 Disember 2016 | 9:17pm

Kejohanan Golf BDB Masters tawar rumah banglo

PENGARAH Urusan Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB), Datuk Izham Yusoff. - Foto Ghazali Kori
PENGARAH Urusan Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB), Datuk Izham Yusoff. - Foto Ghazali Kori

ALOR SETAR: Kejohanan Golf BDB Masters 2016 yang akan membuka tirai esok hingga Ahad ini, menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM900,000 termasuk sebuah rumah banglo kepada pemain pertama yang berjaya melakukan pukulan selubang.

Pengarah Urusan Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB), Datuk Izham Yusoff, berkata penganjuran kejohanan ini yang sudah memasuki tahun ke-16 penganjurannya akan berlangsung di Darulaman Golf & Country Club (DGCC), Jitra, dekat sini.

Beliau berkata, tahun ini adalah kali kedua kejohanan tersebut dijenamakan sebagai BDB Masters dan ia adalah kesinambungan kepada DGCC Malaysia Intermediate Open yang diadakan buat kali pertama lebih 10 tahun yang lalu.

"Hadiah rumah banglo dua tingkat di Bandar Darulaman, Jitra itu ditaja anak syarikat BDB iaitu pemaju hartanah, BDB Land Sdn Bhd," katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Beliau berkata, selain BDB Land Sdn Bhd, penaja utama lain adalah dua lagi anak syarikat BDB iaitu BDB Infra Sdn Bhd dan BDB Synergy Sdn Bhd.

Katanya, antara penaja lain termasuk Takdir Permai (yang menyumbang RM20,000) manakala Innate Synergy Sdn Bhd, Junjung Asphaltic Premix Sdn Bhd, Maju Tech, Perniagaan Muhar Sdn Bhd dan ANAS Construction Sdn Bhd masing-masing menyumbang RM15,000.

Pada masa sama, Izham berkata, pihaknya meletakkan sasaran penyertaan 100 pemain dan semakin hampir mencapainya berikutan sehingga kini hanya ada sedikit kekosongan sahaja lagi yang dijangka dapat dipenuhi sebelum pertandingan bermula.

"Sambutan memberangsangkan terhadap pertandingan ini membuktikan betapa BDB Masters bukan sahaja dikenali dan diiktiraf oleh pemain golf di Kedah sahaja malah di seluruh Malaysia," katanya.

Beliau berkata, kejohanan golf ini dibahagikan kepada dua kategori iaitu Nett dan Gross, selari dengan Sistem Handicap Kebangsaan (NHS) dan seramai 60 pemain yang berjaya mengharungi peringkat kelayakan pada dua hari pertama akan bertanding di hari terakhir.

Katanya, kejohanan pada kali ini tampil dengan sedikit kelainan apabila adanya perlawanan golf amal membabitkan seramai 40 pemain yang akan berlangsung pada hari ketiga kejohanan.

"Sumbangan daripada perlawanan amal itu akan disalurkan untuk tujuan kebajikan di Kedah dan sebagai permulaan sebanyak RM50,000 akan diserahkan kepada empat pertubuhan kebajikan," katanya.

Beliau berkata, hasil perbincangan bersama Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Suraya Yaacob, empat pertubuhan kebajikan yang akan menerima sumbangan itu ialah Asrama Orang Tua Tidak Berwaris, Pertubuhan Pembangunan Anak-anak Yatim Bekas Perajurit Malaysia Daerah Kulim, Persatuan Ibu Tunggal Pendang dan Persatuan Jalinan Kasih.

Berita Harian X