Selasa, 29 November 2016 | 2:28pm
PENUNGGANG Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah.. - Foto Osman Adnan
PENUNGGANG Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah.. - Foto Osman Adnan

Hafizh tambah debaran MSBK

SEPANG: Perlumbaan Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hujung minggu ini bakal bertambah sengit dengan kehadiran penunggang Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah.

Selepas dua minggu perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) 2016 menutup tirainya, pelumba berusia 22 tahun yang menamatkan saingan Moto2 di tempat kesembilan itu mengesahkan akan beraksi bersama pasukan Project X Racing menggunakan jentera Yamaha R1 1000cc di kelas Terbuka.

"Saya mahu berterima kasih kepada Project X Racing Team kerana memberikan peluang ini. Saya memang menyasarkan untuk mengekalkan tahap kecergasan saya dan sentiasa kompetitif kerana saingan MotoGP baru saja berakhir dan ujian pula hanya dibenarkan pada Mac tahun depan," kata Hafizh.

"Peluang ini turut memberikan saya peluang untuk meningkatkan kemahiran saya di SIC. Kami berlumba di sini setiap tahun, dan sekali pun ia agak berbeza pada tahun ini kerana ia baru diturap, ia memberikan peluang untuk belajar lebih banyak."

Pada perlumbaan di Grand Prix (GP) Malaysia tahun ini, Hafizh menamatkan perlumbaan di kedudukan kelima.

Begitupun, ia bukan keputusan terbaik yang diraih pelumba pasukan PETRONAS Raceline Malaysia itu sepanjang musim ini kerana dia pernah menamatkan saingan di tempat keempat sebanyak tiga kali di GP Qatar, Catalunya dan British.

Di sebalik pengalaman luas, Hafizh begitupun mengakui dia bukannya calon pilihan untuk memenangi perlumbaan dan mengakui persaingan di pentas MSBK kian tinggi dengan kehadiran pelumba-pelumba kelas dunia.

"Bagi saya, pelumba Australia Cameron Donald adalah pilihan. Dia amat berpengalaman dan pernah memenangi perlumbaan di Isle of Mann TT. Dia juga adalah bekas juara Superbike Australia.

"Pelumba-pelumba terbaik tempatan seperti Ahmad Fuad Baharuddin yang pernah beraksi di Cub Prix, Kejuaraan Motosikal Asia, Super Siri Malaysia juga bersaing jadi ia bukan sesuatu yang mudah.

"Selain itu, keadaan cuaca juga akan memainkan peranan penting dan saya hanya memberi tumpuan dan menjangkakan apa saja berkemungkinan berlaku.

"Saya mengharapkan perlumbaan yang menarik hujung minggu ini dan berharap peminat untuk turun memberi sokongan," katanya.

Berbeza dengan pusingan sebelum ini, perlumbaan MSBK hujung ini menggabungkan pusingan ke-4 dan ke-5 dan akan dimulakan pada Jumaat ini menerusi sesi latihan dan kelayakan bagi semua kategori, Superbike, Superstock, Supersport dan Production 250cc.

Perlumbaan pusingan empat akan berlangsung pada Sabtu manakala kelima pada Ahad.

Tiada tiket dikenakan bagi peminat yang ingin menyaksikan perlumbaan.

Berita Harian X