Ahad, 27 November 2016 | 11:58pm

Mohamad Faez menang jetski Siri Malaysia di Puchong

TIGA dari kiri, Mohd Faez Mohamad Noor menang Kategori 300hp pada P1 Aquax Series Pertandingan Jetski di D'Island Residences Puchong. - Foto Shiraz Yasmine Ali
TIGA dari kiri, Mohd Faez Mohamad Noor menang Kategori 300hp pada P1 Aquax Series Pertandingan Jetski di D'Island Residences Puchong. - Foto Shiraz Yasmine Ali

KUALA LUMPUR: Pelumba negara, Mohamad Faez Mohamad Noor, memenangi saingan jetski kategori Enduro 300Bhp P1 AquaX 2016 Siri Malaysia di Tasik Puchong di sini, pada Ahad.

Kejayaan itu juga membolehkan dia muncul juara keseluruhan kejohanan yang julung kali diadakan di negara ini.

Mohamad Faez yang menunggang jetski bernombor 89 muncul juara selepas mengenepikan saingan sengit pelumba dari Brunei, Bryan Chia Wai Yuen dan Lim Hong Hao.

Ketika ditemui, Mohamad Faez, mengakui amat teruja dengan kejayaan itu kerana persaingan sengit dari pelumba lain terutama Bryan.

"Alhamdulillah. Jetski saya ada masalah pada pusingan pertama semalam (kelmarin). Saya memang tak sangka akan muncul juara kerana saingan sengit diterima daripada pelumba lain terutama Bryan.

"Kejayaan ini membakar semangat saya untuk bersaing dalam saingan terakhir kejohanan ini di sini pada pertengahan bulan depan," katanya ketika majlis penyampaian hadiah.

Sebelum ini Mohamad Faez pernah muncul juara kategori terbuka dalam perlumbaan jetski di Manila, Filipina, pada tahun lalu.

Sementara itu seorang lagi wakil negara, Saifulah Nazar muncul juara bagi kategori Sprint Spark selepas menewaskan Mohd Danial Mohd Shariff dan Raja Nazrin Shah.

Christopher Keasberry pula menjadi juara kategori 200Bhp diikuti oleh Mohamed Sufian Saidi dan Mohd Danial.

Berita Harian X