Sabtu, 26 November 2016 | 7:38am

Indonesia iringi Thailand ke separuh akhir Piala AFF

PEMAIN dan pegawai Indonesia meraikan kejayaan selepas berjaya menumpaskan Singapura pada perlawanan terakhir Kumpulan A, Piala AFF Suzuki, malam tadi. - Foto AP
PEMAIN dan pegawai Indonesia meraikan kejayaan selepas berjaya menumpaskan Singapura pada perlawanan terakhir Kumpulan A, Piala AFF Suzuki, malam tadi. - Foto AP

YANGON: Indonesia bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Singapura 2-1 pada aksi terakhir Kumpulan A, sekali gus mengesahkan slot ke separuh akhir Piala AFF Suzuki di Stadium Rizal Memorial di Manila, Filipina, malam tadi.

Kemenangan skuad Garuda itu yang sudah empat kali mara ke separuh akhir pada kejohanan berkenaan, menyaksikan mereka mengiringi juara Kumpulan A, Thailand yang menewaskan tuan rumah bersama, Filipina 1-0 dalam satu lagi aksi di Stadium Philippine Sports di Bulacan, menerusi jaringan Sarawut Masuk pada minit ke-81.

Pada perlawanan di Manila, malam tadi, Singapura yang juga juara empat kali, terlebih dahulu membuka jaringan menerusi rembatan voli menarik Muhammad Khairul Amri Muhammad Kamal pada minit ke-27.

Indonesia, bagaimanapun bangkit di babak kedua dengan menjaringkan dua gol menerusi Andik Vermansah pada minit ke-62 dan Stefano Lilipaly pada minit ke-81 bagi mengesahkan tempat ke separuh akhir.

Indonesia akan berdepan juara Kumpulan B, Vietnam di separuh akhir yang akan menggunakan format timbal balik atau aksi di gelanggang sendiri dan lawan pada 3 dan 7 Dis.

Sementara, Thailand akan menentang pemenang perlawanan antara Malaysia dan Myanmar dalam aksi terakhir Kumpulan B, esok. - BERNAMA

Berita Harian X