Sabtu, 26 November 2016 | 12:48am
PERSATUAN Profesional Golf Malaysia (PGAM)
PERSATUAN Profesional Golf Malaysia (PGAM)

PGAM bantah AGM kedua, persoal PJS

KUALA LUMPUR: Persatuan Profesional Golf Malaysia (PGAM) membantah tindakan Pesuruhjaya Sukan (PJS) membenarkan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kali kedua diadakan di Port Dickson Golf & Country Club oleh 'kem A' pada 12 Julai lalu.

Presiden yang dilantik ketika AGM pertama di Kelab Golf Seri Selangor, Amir Abdullah berkata, pihaknya membantah kerana pemilihan tidak boleh dilakukan dua kali mengikut perlembagaan dan turut mempertikaikan AGM pertama pada Mei lalu yang dibatalkan.

"AGM tidak boleh dilakukan kali kedua di dalam mana-mana perlembagaan. Jika Pesuruhjaya Sukan membenarkannya, bermakna dia salah.

"Bantahan AGM yang dibenarkan juga tidak kerana borang pencalonan harus sampai kepada ahli dalam tempoh 14 hari sebelum tarikh pertandingan (mengikut perlembagaan PGAM).

"Namun kita menerima borang pertandingan terbabit pada 13 Julai, sedangkan AGM dibuat sehari sebelum itu di Port Dickson," katanya yang menang majoriti pada AGM di Seri Selangor pada 3 Mei lalu ketika sidang media di Bukit Jalil Golf & Country Club, hari ini.

Amir turut mempertikaikan tindakan PJS meluluskan Maklumat Yang Kena Beri (MYKB) kepada AGM yang diadakan di Port Dickson dalam tempoh hanya satu jam, berbanding AGM di Seri Selangor yang mengambil masa selama dua bulan.

Sehubungan itu, pihaknya tidak dapat menyertai AGM kali kedua yang diadakan di Port Dickson kerana borang pencalonan tiba selepas pemilihan sekali gus menyaksikan tiada kehadiran ahli penuh pada mesyuarat berkenaan.

"Apa yang saya dapat lihat juga adalah orang bawahan yang membuat keputusan, bukannya pengerusi, Datuk Zaiton Othman. MYKB di Port Dickson diluluskan tanpa pengetahuan Zaiton, sebelum dia membatalkan kembali AGM berkenaan," katanya.

Beliau turut mendakwa berlaku penyelewengan kewangan serta ketirisan di dalam PGAM dan memaklumkan perkara itu sudah dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Saya kesan wujud ketirisan dalam persatuan, jadi saya juga ingin tahu ke mana perginya duit terbabit sedangkan akaun sudah dibekukan oleh PJS pada Mei lalu. Aktiviti turut berjalan seperti biasa seperti Sabah Master, Kejohanan Golf Kulim, LPGA, CIMB Kencana dan CIMB.

Selain itu, dakwanya, tiada tindakan diambil walaupun PGAM tidak menghantar akaun persatuan kepada PJS selama lima tahun sekali gus memohon campur tangan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam menyelesaikan isu berkenaan.

Berita Harian X