Selasa, 22 November 2016 | 11:34pm

Rosman Razak kembali ke pangkuan BAM

BEKAS pemain dan jurulatih kebangsaan, Rosman Razak.
BEKAS pemain dan jurulatih kebangsaan, Rosman Razak.

KUALA LUMPUR: Bekas pemain dan jurulatih kebangsaan, Rosman Razak sah kembali ke pangkuan badan induk Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selaku jurulatih skuad beregu lelaki berkuat kuasa 1 Januari depan.

Perkara itu diumumkan oleh Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost Hansen, semalam dengan Rosman sebelum ini ditugaskan melatih skuad beregu wanita namun memutuskan tidak melanjutkan kontraknya pada Mac tahun lalu.

Rosman meninggalkan badan induk itu bersama bekas ketua jurulatih kebangsaan, Rashid Sidek untuk berkhidmat bersama kelab badminton Sport Affairs.

"Kita sudah bersetuju yang Rosman Razak akan kembali ke BAM dan kontraknya sudah pun ditandatangani dan hanya menentukan masa untuk mengumumkannya secara rasmi," kata Morten sambil menambah Rosman akan melatih skuad beregu lelaki negara.

Ketika ditanya mengapa BAM melantik kembali bekas jurulatihnya yang pernah meninggalkan mereka dalam tempoh yang singkat, Morten berkata ia akan memenuhi keperluan badan induk itu ketika ini.

"Kita ketika ini mempunyai dua jurulatih di setiap kategori malah bagi perseorangan, kita meletakkan tiga jurulatih, namun kami juga fleksibiliti.

"Seperti kamu tahu ketika ini, kami menghantar ramai pemain ke banyak kejohanan malah bulan ini saja pemain kita beraksi di 13 kejohanan dan kami hanya mempunyai 11 jurulatih.

"Jadi kita perlu lakukan sesuatu. Dengan fleksibiliti jurulatih itu juga, kita juga akan meningkatkan tahap permainan di kategori itu selain memasuki kejohanan dengan keputusan dengan lebih baik."

BAM baru-baru ini kehilangan jurulatih skuad wanita, Wong Tat Meng yang membuat keputusan menyertai Scotland selaku ketua jurulatih negara itu.

Mengulas peletakan jawatan Tat Meng, Timbalan Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria melihat ia sebagai perkembangan yang positif.

"Ini perkara yang baik. Selepas Olimpik, kita dapat melihat yang nilai jurulatih kita meningkat, banyak negara yang ingin membangunkan badminton seperti Scotland jadi ia perkara yang positif," katanya.

Berita Harian X