Isnin, 21 November 2016 | 12:28am
ANTONIO Conte
ANTONIO Conte

Lampard mungkin jurulatih Chelsea - Conte

LONDON: Antonio Conte enggan menolak kemungkinan kehadiran semula bekas pemain Chelsea, Frank Lampard ke Stamford Bridge dengan peranan selaku jurulatih jika dia membuat keputusan untuk menggantung butnya.

Pemain berusia 38 tahun itu sedang menimbang sama ada untuk melanjutkan kontraknya bersama kelab di Liga Major Amerika (MLS), minggu ini selepas tempohnya bersama New York City berakhir.

Dia difahamkan mempunyai pilihan untuk meneruskan kariernya sebagai pemain di Eropah dan MLS bersama kelab Orlando City dan LA Galaxy namun turut enggan menutup peluang menjadi jurulatih dengan Chelsea dikatakan berminat untuk membantunya.

Dengan rekod 648 perlawanan sepanjang 13 musim bersama kelab itu, ia tampak seperti pilihan yang sukar ditolak oleh Lampard dengan Conte enggan mengulas lanjut mengenai situasi terbabit memandangkan bekas pemain tengah England itu belum lagi mengumumkan persaraannya.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan melantik Lampard sebagai jurulatih, Conte berkata: "Frank Lampard adalah pemain yang hebat, pemain yang menakjubkan bagi Chelsea. Banyak yang dimenanginya bersama kelab ini.

"Namun ketika ini bagi saya, dia masih bermain dan untuk alasan itu, saya tidak tahu mengenai masa depannya. Saya ulangi, dia pemain yang menakjubkan, legenda kelab ini. Saya amat menghormatinya.

"Bagi saya, sukar untuk menjawab soalan ini apabila soalan itu bermula dengan 'jika'. Penting untuk mengetahuinya," katanya yang lebih mementingkan perubahan yang dibuatnya terhadap Chelsea yang sedang mengharungi tempoh baik sejak tujuh minggu lalu.

Chelsea dijadual bertemu Middlesbrough, hari ini selepas mengharungi lima perlawanan Liga Perdana Inggeris tanpa kalah, menjaringkan 16 gol tanpa melepaskan sebarang gol.

Bintang tengah, Eden Hazard disahkan akan beraksi pada perlawanan sekali pun terpaksa dikeluarkan ketika beraksi bersama skuad kebangsaan Belgium pada aksi menentang Estonia, minggu lalu. - Agensi

Berita Harian X