Rabu, 16 November 2016 | 10:50pm

Gerrard sah tinggalkan Galaxy

BEKAS bintang Liverpool dan Kapten England, Steven Gerrard. - Foto AP
BEKAS bintang Liverpool dan Kapten England, Steven Gerrard. - Foto AP

LONDON: Bekas bintang Liverpool dan Kapten England, Steven Gerrard, meninggalkan kelab Los Angeles Galaxy dan memerlukan sedikit masa untuk mempertimbangkan mengenai masa depannya.

Gerrard yang menyertai kelab Liga Major Amerika (MLS) itu selepas meninggalkan Liverpool pada 2015 mengesahkan tidak akan bersama kelab itu bagi kempen 2017 selepas kontraknya berakhir.

"Apabila saya meninggalkan Liverpool, saya pergi ke Los Angeles dengan sasaran membantu Galaxy menjulang satu lagi trofi MLS.

"Sudah tentu saya kecewa tidak berjaya untuk mencapai objektif, namun bangga dengan apa yang kami capai, termasuk dua penampilan berturut-turut dalam playoff dan saat-saat penuh memori di atas padang.

"Saya ketika ini tidak sabar untuk menghabiskan masa bersama keluarga sebelum mempertimbangkan tahap seterusnya dalam karier saya," kata pemain berusia 36 tahun itu dalam laman web pasukan.

Pemain tengah itu yang menjaringkan lima gol sepanjang 34 penampilan dalam tempoh 18 bulan di Galaxy begitupun tidak mengesahkan sama ada akan terus bermain atau berubah arah ke arena kejurulatihan.

Beliau sudah pun dikaitkan dengan tugas kejurulatihan di Liverpool, kelab di mana beliau menghabiskan masa 17 tahun sebagai pemain dan menjulang trofi Liga Juara-Juara pada 2005. - REUTERS

Berita Harian X