Jumaat, 11 November 2016 | 7:40am

Bravo wira Chile ikat Colombia

PENJAGA gol Chile, Claudio Bravo beraksi pada perlawanan kelayakan bola sepak FIFA World Cup 2018 menentang Colombia di Barranquilla, Colombia.- Foto AFP
PENJAGA gol Chile, Claudio Bravo beraksi pada perlawanan kelayakan bola sepak FIFA World Cup 2018 menentang Colombia di Barranquilla, Colombia.- Foto AFP

BARRANQUILLA (Colombia): Claudio Bravo menjadi wira Chile ketika skuad itu terikat 0-0 pada aksi kelayakan Piala Dunia 2018 dengan Colombia, sebelum dia dikeluarkan berikutan kecederaan kaki.

Bravo yang juga penjaga gol Manchester City dan kapten Chile, menyelamatkan dua percubaan berbahaya di babak pertama untuk juara Copa America itu meraih mata penting dalam cuaca panas di Barranquilla.

Namun Bravo berdepan detik buruk apabila dilihat seakan mengalami kecederaan otot pada babak kedua yang memaksa penjaga gol veteran Chile itu digantikan dengan Johnny Herrera pada minit ke-65.

Keputusan itu menyaksikan Colombia mengumpul 18 mata daripada 11 perlawanan dalam kempen kelayakan zon Amerika Selatan, manakala Chile menghimpun 17 mata.

Empat perlawanan lain turut berlangsung hari ini termasuk aksi tumpuan antara Brazil dengan Argentina. - AFP

Berita Harian X