Khamis, 3 November 2016 | 12:59pm

Mourinho perjelas punca panggil semula Schweinsteiger

BASTIAN Schweinsteiger. - Foto Reuters
BASTIAN Schweinsteiger. - Foto Reuters

ISTANBUL: Pengurus Manchester United, Jose Mourinho, berkata Bastian Schweinsteiger sudah kembali menjalani latihan bersama skuad utama untuk memastikan perancang tengah itu boleh kembali dalam keadaan terbaik menjelang jendela perpindahan pada Januari ini.

Bekas kapten Jerman itu tidak pernah membuat sebarang penampilan untuk United pada musim ini di bawah Mourinho, dan tidak dibenarkan menjalani latihan bersama skuad utama.

Mourinho memutuskan minggu lalu bahawa Schweinsteiger, 32, patut menyertai latihan skuad utama, dan berkata: "Dia akan berada dalam keadaan lebih baik, sekiranya keputusan dia untuk meninggalkan kelab, untuk terus bermain dalam aksi kompetitif."

Mourinho berkata, Schweinsteiger mungkin boleh kembali dalam pasukan "sekiranya satu hari nanti United mengalami masalah di bahagian tengah."

Schweinsteiger tidak pernah beraksi buat United sejak Mac lalu.

Aksi kompetitif terakhirnya adalah sebagai pemain gantian ketika Jerman tewas kepada Perancis pada pentas separuh akhir Euro 2016, Julai lalu.

Mourinho berkata demikian menjelang aksi Liga Europa menentang Fenerbahce di Turki awal pagi esok waktu Malaysia.

Schweinsteiger tidak berada dalam skuad utama pada aksi terbabit. - AP

Berita Harian X