Rabu, 2 November 2016 | 11:29am

Lewandowski bantu Bayern atasi PSV Eindhoven

PENYERANG Bayern Munich, Robert Lewandowski (tengah) melakukan sepakan penalti untuk gol penyamaan ketika menentang PSV Eindhoven pada perlawanan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi. - Foto EPA
PENYERANG Bayern Munich, Robert Lewandowski (tengah) melakukan sepakan penalti untuk gol penyamaan ketika menentang PSV Eindhoven pada perlawanan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi. - Foto EPA

EINDHOVEN, Belanda: Robert Lewandowski meledak dua gol ketika membantu Bayern Munich bangkit daripada ketinggalan untuk mengatasi PSV Eindhoven 2-1, sekali gus menempah tempat ke kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara.

Skuad kendalian Carlo Ancelotti mengesahkan tempat untuk kedudukan dua teratas Kumpulan D dengan saingan masih berbaki dua perlawanan pada aksi yang menyaksikan penyerang Poland itu seharusnya mampu menjaringkan lima gol, namun tiga lagi percubaannya terkena tiang dan palang.

"Secara keseluruhan kami menyerang dengan baik, tetapi mengambil masa agak lama untuk menggerakkan bola sepanjang babak pertama," kata penyerang Bayern, Thomas Mueller.

"Kami seharusnya menang lebih besar jadi kami tidak dapat mengatakan yang kami 100 peratus puas hati."

Peluang tipis juara Belanda, PSV untuk layak tertutup sepenuhnya apabila skuad kendalian Phillip Cocu sekadar di tangga ketiga dan lapan mata di belakang Bayern.

Perlawanan Bayern di laman sendiri pada 6 Disember menentang Atletico yang turut mara ke pusingan kalah mati selepas menewaskan Rostov 2-1, bakal menjadi penentu kepada kejuaraan kumpulan.

"Ia adalah permulaan yang sukar, tetapi kami bangkit langkah demi langkah dan berhak meraih kemenangan ini," kata Ancelotti.

"Penting bagi kami untuk tidak kehilangan keyakinan selepas kedudukan 1-1. Kami masih mempunyai dua perlawanan untuk merebut tempat teratas."

Selepas tewas 4-1 di Munich dua minggu lalu, PSV mendahului permainan menerusi tandukan Santiago Arias di babak pertama.

Gol penyamaan Bayern hadir menerusi sepakan penalti apabila bola terkena tangan Andres Guardado dan Lewandowski tenang menyempurnakan sepakan.

Ketika perlawanan berbaki 16 minit, Lewandowski memastikan kemenangan buat Bayern menerusi gol ke-19 dirinya untuk kelab dan negara dalam 17 perlawanan musim ini, dan gol keempat Liga Juara-Juara daripada empat perlawanan. - AFP

Berita Harian X