Selasa, 1 November 2016 | 12:11pm

Schweinsteiger kembali sertai skuad utama

BASTIAN Schweinsteiger.
BASTIAN Schweinsteiger.

MANCHESTER: Bek kiri Manchester United Luke Shaw mengalu-alukan kepulangan Bastian Schweinsteiger ke sesi latihan skuad utama pasukan semalam.

Bekas pemain tengah Jerman berusia 32 tahun itu diketepikan sejak kehadiran pengendali United, Jose Mourinho dan tidak dianggap sebagai aset kelab dalam laporan kewangan berakhir 30 Jun lalu.

Dia turut digugurkan daripada skuad Liga Europa United, tetapi gambar-gambar di akaun media sosial kelab menunjukkan Schweinsteiger sedang berlatih dengan rakan sepasukan menjelang pertemuan dengan Fenerbahce Khamis ini.

"Gembira melihat dia kembali," kata Shaw. "Kami mengetahui mengenai berita ini beberapa hari lalu dan cukup gembira dia kembali bersama.

"Dia mempunyai pengaruh besar di dalam bilik persalinan dan juga di atas padang, terutama buat pemain-pemain muda seperti kami. Ia mencetus semangat kami, dengan pengalaman dan kualiti yang dimilikinya."

Shaw dikritik Mourinho selepas kekalahan 3-1 di Watford bulan lalu dan selepas sekadar memanaskan bangku simpanan, dia digugurkan daripada skuad ketika kekalahan 4-0 di tangan Chelsea.

Namun dia kembali memulakan dua perlawanan terakhir United, menentang Manchester City dalam Piala Liga dan Burnley dalam Liga Perdana Inggeris, dan Shaw menegaskan tidak ada isu antara dia dan pengendali pasukan.

"Saya tidak gembira apabila tidak berada dalam skuad (menentang Chelsea), kerana saya benar-benar mahu bermain dalam perlawanan itu," kata Shaw yang pasukannya kini di tangga kelapan Liga Perdana.

"Namun kata putus di tangan pengendali. Selepas perlawanan itu saya bercakap dengannya berkenaan perkara ini dan saya 100 peratus bersetuju dengan apa yang diperkatannya dan mengapa saya tidak terbabit.

"Biarlah perkara itu hanya antara kami berdua. Tetapi beberapa perlawanan lalu terasa lebih bagus. Saya rasa lebih cergas dan kuat."

United berjaya mengikat Burnley 0-0 di Old Trafford Sabtu lalu walaupun mempunyai 37 percubaan ke arah gol - perlawanan liga ketiga berturut-turut mereka tanpa jaringan dihasilkan.

Zlatan Ibrahimovic kini mengharungi lima perlawanan tanpa menjaringkan gol, tetapi Shaw tidak merasakan tahap keyakinan penyerang Sweden itu terjejas.

"Tidak mungkin. Saya tidak akan katakan begitu," kata bek kiri England itu. "Dia adalah pemain kelas dunia dan saya tidak menganggapnya satu kemerosotan. Dia cuma tidak bernasib baik." - AFP

Berita Harian X