Ahad, 30 Oktober 2016 | 2:40pm

GP Malaysia: Bagnaia ungguli Moto3

PELUMBA Moto3 Itali, Francesco Bagnaia dari Pull & Bear Aspar Mahindra Team memenangi saingan Moto3 ketika perlumbaan MotoGP Grand Prix Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang. - Foto Asyraf Hamzah
PELUMBA Moto3 Itali, Francesco Bagnaia dari Pull & Bear Aspar Mahindra Team memenangi saingan Moto3 ketika perlumbaan MotoGP Grand Prix Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang. - Foto Asyraf Hamzah

SEPANG: Perlumbaan Moto3 Grand Prix (GP) Malaysia menobatkan pelumba Itali, Francesco Bagnaia selaku juara dalam saingan yang dipenuhi insiden kemalangan termasuk menyingkirkan pelumba negara, Adam Norrodin sebentar tadi.

Begitupun, dua lagi pelumba negara, Khairul Idham Pawi dan Hafiq Azmi berjaya meneruskan perlumbaan sebelum ia dihentikan ketika berbaki lima pusingan.

Keputusan itu menyaksikan Khairul Idham menamatkan perlumbaan di kedudukan kelapan manakala Hafiq di tempat ke-11 sekali gus memberikannya mata kejuaraan pertama dalam kariernya.

Khairul Idham yang dikenali SuperKIP menamatkan saingan dengan mengumpul lapan mata manakala Hafiq, lima mata.

Sedikit menceriakan, rakan sepasukan Adam dari pasukan Drive M7 SIC Racing, Jakub Kornfeil menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua yang juga podium pertamanya musim ini.

Melengkapkan podium ialah pelumba KTM Ajo, Bo Bendsneyder.

"Saya fikir ini adalah perlumbaan terbaik dalam karier saya. Saya bermula dengan baik dan selepas menjarakkan diri dengan pelumba di belakang, saya terus memberi tumpuan kepada perlumbaan.

"Ia kemenangan yang penting. Keputusan yang menakjubkan. Kemenangan kedua saya dalam musim ini," kata Bagnaia.

Adam dalam pada itu terjatuh di pusingan pertama selekoh keenam bersama beberapa pelumba dan sekali pun cuba meneruskan perlumbaan, tuah jelas tidak memihaknya apabila sekali lagi terjatuh di selekoh ketujuh.

tamat

Berita Harian X