Ahad, 30 Oktober 2016 | 11:13am

SuperKIP, Hafizh bangkit di sesi pemanas badan

KHAIRUL Idham Pawi beraksi di Litar Antarabangsa Sepang. - Foto BERNAMA
KHAIRUL Idham Pawi beraksi di Litar Antarabangsa Sepang. - Foto BERNAMA

SEPANG: Sesi pemanas badan Grand Prix (GP) Malaysia, sebentar tadi menyaksikan kebangkitan pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi yang melakukan catatan kedua terpantas di litar.

Bergelut ketika sesi kelayakan, semalam apabila sekadar melakukan catatan ke-20 terpantas, pelumba berusia 18 tahun itu melakukan 2 minit 25.378 saat (s), kurang 0.238s di belakang pelumba terpantas, Francesco Bagnaia.

Catatan yang dibuat ketika litar basah itu tampak sedikit melegakan buat penunggang Honda Asia itu yang akan memulakan perlumbaan di petak ke-20.

Seorang lagi pelumba Moto3 negara, Adam Norrodin dalam pada itu melakukan catatan ke-16 terpantas manakala pelumba wildcard negara, Hafiq Azmi ke-20.

Sementara itu, kebangkitan turut ditampilkan penunggang Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah.

Hafizh yang bergelut ketika sesi kelayakan, semalam dan akan memulakan perlumbaan di petak ke-14, hari ini mencatat masa ke-9 terpantas, 2'11.178s.

Seorang lagi pelumba negara dalam kelas Moto2, Ramdan Rosli dalam pada itu sekadar melakukan catatan ke-23 terpantas apabila merekodkan 2'13.329s.

Catatan terbaik dilakukan pelumba Itali, Franco Morbidelli dari pasukan Estrella Galicia, 2'09.750s.

Perlumbaan Moto3 dijadual pada jam 12 tengah hari ini manakala Moto2, 1.20 petang.

Perlumbaan kelas MotoGP dijadual pada jam 3 petang.

Jadual perlumbaan hari ini.

- Perlumbaan Moto3 - 12:00tgh

- Perlumbaan Moto2 - 1:20ptg

- Perlumbaan MotoGP - 3:00ptg

Berita Harian X