Sabtu, 29 Oktober 2016 | 2:47pm

Binder sambar petak utama, penunggang negara bergelut

JUARA Dunia Moto3 2016, Brad Binder. - Foto AP
JUARA Dunia Moto3 2016, Brad Binder. - Foto AP

SEPANG: Juara Dunia Moto3 2016, Brad Binder terus mempamer tunggangan terbaik apabila merangkul petak utama Grand Prix (GP) Malaysia yang tertangguh seketika akibat hujan lebat, sebentar tadi.

Pelumba pasukan Red Bull KTM Ajo itu melakukan catatan terpantas 2 minit 26.268 saat (s) di penghujung sesi kelayakan dalam keadaan litar basah ketika barisan pelumba negara, tampak bergelut dengan situasi itu.

Sekali pun hujan pada awalnya dianggap tuah buat pelumba negara, berita gembira yang diharapkan tidak kesampaian apabila ketiga-tiga wakil, Khairul Idham Pawi, Adam Norrodin dan Hafiq Azmi tidak mampu mencatat masa terbaik.

Adam dari pasukan Drive M7 SIC muncul pelumba negara terbaik apabila meraih petak ke-18 diikuti Khairul (Honda Asia) ke-20 manakala Hafiq, ke-22.

Pelumba Sepanyol, Jorge Navvaro meraih petak kedua, ketinggalan 0.093 saat diikuti pelumba Itali, Francesco Bagnaia melengkapkan kelompok depan.

Pada awal kelayakan, keadaan hujan tidak begitu lebat namun ia semakin lebat memasuki 20 minit terakhir mengakibatkan bendera merah dikibarkan menyaksikan sesi ditangguhkan.

Berita Harian X