Khamis, 27 Oktober 2016 | 7:07pm

Hadiah lumayan di Kejohanan Golf BDB Firefly 2016

PENGARAH Urusan Bina Darulaman Berhad, Datuk Izham Yusoff pada sidang media Kejohanan Golf BDB- Firefly 2016 di Las Vacas, Glo Damansara.- Foto Nazran Jamel
PENGARAH Urusan Bina Darulaman Berhad, Datuk Izham Yusoff pada sidang media Kejohanan Golf BDB- Firefly 2016 di Las Vacas, Glo Damansara.- Foto Nazran Jamel

DAMANSARA: Pemaju hartanah Bina Darulaman Bhd (BDB) akan menganjurkan Kejohanan Golf BDB Firefly 2016 di Darulaman Golf and Country Club (DGCC), Jitra, Kedah pada 26 November ini.

Pengarah Urusan Kumpulan BDB, Datuk Izham Yusoff berkata, kejohanan terbuka dengan kerjasama Firefly itu berjaya menarik perhatian profesional tempatan serta serantau.

"BDB selaku penganjur yakin dengan penyertaan pemain profesional dan amatur tempatan dapat menaikkan standard golf Malaysia.

"Kami juga berhasrat mempromosikan DGCC, iaitu salah satu lapangan terbaik di Zon Utara dan Kedah.

Ia bukan saja sebagai destinasi golf tetapi kaya dengan warisan dan kepelbagaian sempena 'Discover Kedah 2016' ," kata Izham pada sidang media, dekat sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Izham berkata, kejohanan itu menawarkan hadiah keseluruhan sehingga RM1 juta.

Pemain pertama yang melakukan pukulan Hole-in-One akan memenangi banglo dua tingkat di Bandar Darulaman bernilai RM800,000 yang ditaja BDB Land Sdn Bhd.

Juara pula bakal menerima dua tiket penerbangan pergi balik ke Singapura termasuk penginapan, naib juara akan menerima dua tiket ke Langkawi termasuk penginapan manakala tempat ketiga dan keempat penerbangan dari Subang ke Johor.

Sebanyak RM250 dikenakan sebagai yuran penyertaan yang akan menggunakan format Stableford.

Maklumat kejohanan boleh didapati di http://www.facebook.com/darulamangolf atau hubungi 04-9170001.

Berita Harian X