Isnin, 17 Oktober 2016 | 4:40pm

Malaysia terpilih tuan rumah ACC 2018

MELAKA: Impian pelumba trek negara untuk mengutip mata kelayakan ke Sukan Olimpik 2020 di Jepun dipermudahkan lagi apabila Malaysia dipilih menjadi penganjur Kejohanan Lumba Basikal Asia 2018 (ACC 2018).

Pemangku Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC), Datuk Abu Samah Abd Wahab menjelaskan, Malaysia dipilih sebulat suara untuk menjadi tuan rumah ACC 2018 selepas Thailand dan Korea Selatan menarik balik borang pembidaan masing-masing.

Wakil Korea Selatan kemudian bertindak menawarkan pembidaan untuk Kejohanan Lumba Basikal Asia 2019 (ACC 2019) secara lisan dan berjanji akan mengemukakan pembidaan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif ACC 2017 di Manama, Bahrain pada Mac tahun depan.

Beliau yang juga Pengerusi Lebuh Raya dan Trek ACC menjelaskan bahawa keputusan pemilihan diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif ACC 2016 yang diadakan di Grand Hyatt di Doha, Qatar semalam.

Abu Samah yang juga Presiden Persatuan Berbasikal Asean (ACA) menyatakan bahawa awalnya Thailand dan Korea Selatan berkeras untuk mengekalkan pembidaan masing-masing sehingga memaksa wakil Malaysia, Datuk Amarjit Singh memberi penerangan secara menyeluruh.

Dalam penerangan berkenaan, Amarjit berjaya meyakinkan panel pemilihan bahawa Malaysia perlu menjadi tuan rumah Kejohanan Lumba Basikal Asia 2018 secara merit, katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF) semalam.

Abu Samah yang juga Presiden MNCF berkata pemilihan itu bakal memberi laluan mudah kepada tiga pelumba negara khususnya Mohd Azizulhasni Awang, Shah Firdaus Sahrom dan Fatehah Mustafa untuk mengutip mata mudah di halaman sendiri.

Mohd Azizulhasni adalah pemenang pingat gangsa menerusi acara keirin di Kejohanan Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.Untuk kejohanan ini, Malaysia hanya akan menganjurkan acara trek manakala Myanmar dipilih oleh Jawatankuasa Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif ACC untuk menjadi tuan rumah untuk ACC 2018 bagi acara lebuh raya, katanya.

Idea untuk memisahkan venue bagi acara lebuh raya dan trek Kejohanan ACC dicetuskan sendiri oleh Abu Samah dan Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif ACC menerima dan meluluskan sebulat idea berkenaan pada mesyuarat di Kazakhstan pada 2014.

Difahamkan, Velodrom Rakyat di Ipoh, Perak dipilih untuk menjadi venue bagi ACC Trek 2018. Namun, menurut sumber, keputusan itu bakal mencetuskan masalah seandainya Velodrom Rakyat gagal disiapkan sebelum 2018 rentetan pertukaran kontraktor utama.

Dalam pada itu, Amarjit meminta sokongan padu daripada semua pihak bagi memastikan ACC 2018 berjalan lancar tanpa sebarang masalah."Kewangan pasti menjadi kekangan dan persoalan penting. "Ini kerana Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif ACC meminta kita supaya menitikberatkan soal hotel dan pemakanan yang berkualiti," katanya.

Berita Harian X