Sabtu, 15 Oktober 2016 | 9:17pm

Adam bermula di petak 9, Khairul ke-22 GP Jepun

gn4id:16811180

KUALA LUMPUR: Pelumba negara, Adam Norrodin akan memulakan saingan Grand Prix (GP) Jepun saingan Moto3 di petak kesembilan pada perlumbaan di Litar Twin Ring Motegi, Jepun, esok.

Pada sesi kelayakan, pelumba pasukan Drive M7 SIC Racing mencatat masa terpantas sepusingan satu minit 56.873 saat dengan penunggang Honda, Hiroki Ono dari Jepun merangkul petak utama dengan catatan masa 1:56.443s.

Pelumba Itali, Andrea Migno (SKY Racing Team VR46) meraih petak kedua dengan catatan masa 1:56.529s diikuti pelumba Afrika Selatan, Brad Binder (Red Bull KTM Ajo) di petak ketiga dengan 1:56.659s.

Adam berkata beliau berpuas hati dengan catatan masa itu dan tidak menjangka dapat meraih kedudukan 10 terbaik pada sesi kelayakan itu.

"Saya berharap petak kesembilan ini akan memberi harapan dan peluang terbaik saya menamatkan perlumbaan dalam kedudukan yang lebih baik," kata dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pasukannya di sini hari ini.

Dalam pada itu, seorang lagi pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi daripada pasukan Honda Team Asia akan bermula di petak ke-22 selepas merakam catatan masa 1:57.395s.

Dalam saingan kategori Moto2, wakil negara Hafizh Syahrin Abdullah daripada pasukan Petronas Raceline Malaysia bermula di petak ke-12 dengan catatan masa 1:50.898s.

Johann Zarco dari pasukan Ajo Motorsport meraih petak pertama dengan catatan terpantas 1:49.961s dikuti Thomas Luthi (Garage Plus Interwetten) dengan 1:50.028s dan Franco Morbidelli (Estrella Galicia 0,0 Marc VDS), 1:50.317s. -- BERNAMA

Berita Harian X