Sabtu, 15 Oktober 2016 | 6:39pm

Khalil pesan Chong Wei terus berjuang untuk negara

YANG di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob menyampaikan Darjah Cemerlang Seri Melaka yang membawa gelaran Datuk Wira kepada Datuk Lee Wira Lee Chong Wei di Melaka, hari ini. - Foto Rasul Azli Samad
YANG di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob menyampaikan Darjah Cemerlang Seri Melaka yang membawa gelaran Datuk Wira kepada Datuk Lee Wira Lee Chong Wei di Melaka, hari ini. - Foto Rasul Azli Samad

MELAKA: Teruskan berjuang mengharumkan nama negara adalah pesanan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob kepada jaguh badminton negara Datuk Wira Lee Chong Wei.

Chong Wei berkata, Mohd Khalil menyampaikan pesanan itu kepadanya ketika menyampaikan Darjah Cemerlang Seri Melaka yang membawa gelaran Datuk Wira kepadanya di sini hari ini.

Beliau berkata pesanan dan anugerah itu menaikkan semangat kepadanya bagi berjuang untuk negara terutama ketika menyertai kejohanan Terbuka Denmark dan Perancis selepas ini.

"Terima kasih kepada kerajaan Melaka kerana memberikan pingat ini dan ia meningkatkan lagi semangat saya untuk terus cuba melakukan yang terbaik di samping tidak mudah berputus asa.

"Malam ini saya akan bertolak ke Denmark untuk menyertai kejohanan itu," katanya.

Beliau ditemui selepas Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka bersempena sambutan Hari Lahir Ke-78 Yang Dipertua Negeri di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Pada istiadat itu, seramai 228 orang menerima darjah, bintang dan pingat masing-masing didahului Ketua Menteri Melaka, Datuk Idris Haron yang merupakan penerima tunggal Darjah Utama Negeri Melaka (DUNM) membawa gelaran Datuk Seri Utama.

Sementara itu, penyerang berbisa skuad bola sepak Melaka United, Ilija Spasojevic yang juga antara 34 penerima Bintang Cemerlang Melaka menyifatkan anugerah tersebut juga milik jurulatih, pengurusan dan rakan sepasukannya.

Mengulas mengenai perpindahannya, Spasojevic yang mesra dengan panggilan 'Spaso' berkata beliau akan melakukan perbincangan bersama pengurusan pasukan berhubung masa depannya dengan skuad Sang Kancil itu.

"Kita selesaikan dahulu musim ini kerana walaupun sudah muncul juara, perlawanan terakhir pasukan (menentang Sime Darby) tetap penting kerana ramai penyokong yang akan hadir menyaksikannya.

"Kita mahu akhiri (musim ini) dengan penuh bergaya dan beraksi sebagai juara bagi menghargai sokongan semua pihak," kata penyerang yang fasih berbahasa Melayu itu. - BERNAMA

Berita Harian X