Isnin, 10 Oktober 2016 | 4:20pm

Atlet jangan leka dengan anugerah, hadiah - Khairy

KHAIRY bersama atlet Paralimpik 2016, Mohamad Rizuan Mohammad Puzi, Abdul Latif Romly dan Ziyad Zolkefli melihat replika kediaman yang diterima pada majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Pemenang Pingat Sukan Paralimpik Rio 2016 di Menara NAZA di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Hasriyasyah Sabudin
KHAIRY bersama atlet Paralimpik 2016, Mohamad Rizuan Mohammad Puzi, Abdul Latif Romly dan Ziyad Zolkefli melihat replika kediaman yang diterima pada majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Pemenang Pingat Sukan Paralimpik Rio 2016 di Menara NAZA di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Hasriyasyah Sabudin

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengingatkan atlet negara termasuk atlet paralimpik supaya tidak terbuai dengan anugerah dan hadiah yang mereka terima susulan kejayaan mengharumkan nama negara dalam Sukan Paralimpik Rio 2016.

Katanya, hadiah dan anugerah yang diterima itu seharusnya menjadi pemangkin untuk meningkatkan lagi semangat serta prestasi atlet terutama mengharungi acara sukan penting pada masa depan terutama Sukan SEA 2017 dan Sukan Olimpik 2020.

"Jangan hanyut dengan pengiktirafan diterima. Kenangkan semula bagaimana kehidupan awal sebelum bakat anda dicungkil. Jadikan hadiah dan anugerah diterima untuk meningkatkan lagi prestasi dalam kejohanan besar akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Pemenang Pingat Sukan Paralimpik Rio 2016 di Menara NAZA di sini, hari ini.

Hadir sama, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isteri yang juga Penaung Majlis Paralimpik Malaysia, Tun Jeanne Abdullah serta Pengerusi Kumpulan NAZA yang juga Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, SM Nasarudin SM Nasimuddin.

Pada majlis itu, Kumpulan Naza menghadiahkan suite kediaman Trion 888, Equine Park bernilai RM350,000 dan Kia Sportage kepada pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016.

Mereka ialah Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (lari 100 meter), Ziyad Zolkefli (lontar peluru) dan Abdul Latif Romly (lompat jauh).

Pemenang pingat gangsa, Siti Noor Radiah Ismail pula menerima kereta Kia Rio Sedan.

SM Nasarudin berkata, pihaknya gembira dan bangga dengan kejayaan diraih atlet paralimpik negara yang dianggap terbesar dalam sejarah sukan negara.

Berita Harian X