Sabtu, 8 Oktober 2016 | 5:57pm

Taekwon-do Putrajaya cipta rekod HSN 2016

PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menunjukkan kemahirannya memecahkan papan semasa mengunjungi tapak pertunjukkan Taekwando pada sambutan Hari Sukan Negara 2016 di Presint 2 hari ini.Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin (dua, kanan). - Foto BERNAMA
PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menunjukkan kemahirannya memecahkan papan semasa mengunjungi tapak pertunjukkan Taekwando pada sambutan Hari Sukan Negara 2016 di Presint 2 hari ini.Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin (dua, kanan). - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Persatuan Taekwon-do (ITF) Wilayah Putrajaya mencatat sejarah apabila tersenarai dalam 'Malaysia Book of Records' kerana berjaya menghimpunkan 1,600 peserta dalam demonstrasi memecahkan papan.

Wakil persatuan, Muhammad Zaidi Surati, berkata acara itu bersempena sambutan Hari Sukan Negara 2016 (HSN) peringkat kebangsaan yang berlangsung di Dataran Putrajaya, hari ini mendapat sokongan daripada beberapa lagi persatuan taekwon-do di dalam negara yang turut hadir bagi menjayakannya.

"Tersenarai dalam 'Malaysia Book of Records' adalah kebanggaan bagi semua pengamal sukan mempertahankan diri ini dan saya berterima kasih kepada semua peserta yang memberi komitmen penuh," katanya.

Kasmila Nair dan Vishalni Nair, antara peserta acara itu, berkata HSN 2016 memberi peluang kepada mereka untuk menjadi sebahagian daripada detik bersejarah itu.

"Kami berasa sangat gembira, bukan hanya dapat mencatatkan rekod tetapi sambutan HSN adalah satu pengalaman baharu dan ia patut diteruskan di masa akan datang.

"Selain menyertai taekwon-do, saya juga menyertai pelbagai aktiviti yang menarik di sini, antaranya berbasikal dan 'punch breaker'," katanya.

Sekretariat HSN 2016 menyasarkan tujuh juta orang iaitu 20 peratus daripada jumlah rakyat Malaysia akan menyertai program-program yang telah diatur di seluruh negara berbanding 4.2 juta orang yang turun padang menyertai program yang sama tahun lepas. - BERNAMA

Berita Harian X